JOHOR BAHRU: Bagi meringankan bebanan keluarga yang memerlukan, UDA Holdings Berhad (UDA) membantu menyediakan kelengkapan sekolah bagi 200 murid di sekitar bandar raya ini sempena Program UDA Cares: Back to School 2025@South di Angsana Johor Bahru Mall, baru-baru ini.
Setiap pelajar daripada keluarga asnaf di sekitar Johor Bahru itu menerima sumbangan kelengkapan persekolahan bernilai RM300.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Zahrin Zakaria berkata, program itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar yang kurang berkemampuan.
“Program ini selari dengan komitmen UDA dalam menyokong kesejahteraan komuniti, khususnya Bumiputera.
“Sumbangan ini diharap dapat memberi semangat dan menceriakan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun baharu dengan lebih selesa,” katanya.
Dalam program tersebut, setiap pelajar yang dipilih dari 10 buah sekolah di sekitar wilayah pembangunan UDA turut menerima beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas minuman.
Turut hadir dalam program itu ialah Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh serta Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Ismail Dasuki.
Sebelum ini, UDA turut menyumbangkan beg sekolah dan alat tulis kepada 102 pelajar di Sandakan, Sabah, serta 200 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bahaman, Lanchang, Pahang.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks UDA, Rafidah Yussuf berkata, program CSR yang dianjurkan itu amat membantu keluarga asnaf dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
“Bantuan seperti ini sangat membantu keluarga yang memerlukan untuk menyediakan kelengkapan sekolah yang akan dibuka tidak lama lagi, sekali gus membantu meringankan beban keluarga ini untuk menghadapi Ramadan dalam masa yang sama,” katanya.
Guru Besar SK Sri Kenanga, Souib Hamad pula berharap program seumpana itu dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
“Pada masa akan datang, mungkin pihak UDA boleh menambah jumlah penerima bantuan agar lebih ramai murid daripada keluarga asnaf dapat merasai kegembiraan mendapat kelengkapan sekolah yang baharu,” katanya. – UTUSAN