BANGI: Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang menyediakan perlindungan komprehensif selama 24 jam perlu disegerakan bagi melindungi pekerja yang mengalami kemalangan di luar waktu pekerjaan.
Skim ini menjadi satu keperluan susulan laporan sebanyak 86,529 kes kemalangan yang diterima oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sepanjang tahun lalu.
Namun, hasil semakan mendapati hanya 66,574 kes disahkan sebagai bencana kerja manakala selebihnya dikategorikan sebagai bukan bencana kerja.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32,936 kes adalah kemalangan industri manakala 33,638 kes lagi kemalangan perjalanan.
Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai nasib hampir 19,955 kes atau 23 peratus daripada keseluruhan kemalangan yang dilaporkan kepada PERKESO kerana mereka tidak layak menerima faedah di bawah Skim Bencana Kerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) yang sedia ada.
Lebih membimbangkan, sebanyak 54 kes kemalangan sehari yang dikategorikan sebagai Bukan Bencana Kerja direkodkan sepanjang 2024.
54 kes tersebut berpotensi melibatkan ketua keluarga, ibu, abang atau kakak yang menjadi tulang belakang serta pencari nafkah utama bagi keluarga mereka.
Jika tidak mempunyai SKBBK, keselamatan mereka tidak terjamin kerana tiada perlindungan menyeluruh sepanjang 24 jam.
Ia turut mengakibatkan mangsa kehilangan sumber penggantian pendapatan termasuk Faedah Pencen Penakat, Faedah Pencen Ilat serta kemudahan rehabilitasi yang sepatutnya membantu mereka meneruskan kehidupan.
Oleh itu, keperluan mendesak untuk melaksanakan SKBBK tidak boleh dipandang ringan dan harus disegerakan demi kebajikan mereka yang terkesan.
Semalam, PERKESO berusaha memperluaskan usaha pencegahan kemalangan melalui Konvensyen Pencegahan Kemalangan 2025 (Cegah 2025) bagi memastikan pendekatan Sifar Kemalangan dapat diterapkan secara menyeluruh di setiap premis majikan serta semasa perjalanan ke tempat kerja.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Ops Cegah pada tahun ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan rakan strategik seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Selain itu, beliau berkata, lebih 500 peserta terdiri daripada wakil majikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi berkaitan terlibat dalam program kali ini.
“PERKESO sentiasa menyokong program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan pelaksanaan Ops Cegah dengan memfokuskan kepada majikan yang merekodkan kadar kemalangan tertinggi demi menjamin keberkesanan aspek pencegahan di tempat kerja.
“Setakat ini, 675 program KKP diluluskan PERKESO untuk dilaksanakan 35 NGO dan institusi, dengan peruntukan RM4.01 juta pada tahun ini,” katanya semasa berucap di Konvensyen tersebut di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, semalam.-UTUSAN