JOHOR BAHRU: Buat julung kalinya, Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) Bersama Duta Guru telah dianjurkan di Johor baru-baru ini. Karnival ini menyediakan platform dinamik yang mempertemukan pelajar, guru, dan industri untuk meneroka dunia STEM dengan lebih mendalam.
Acara anjuran PETRONAS ini berlangsung dengan meriahnya di Pasir Gudang, menandakan satu langkah besar dalam memperkukuh pendidikan STEM, serta kerjaya masa depan generasi muda.
Dengan kerjasama erat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang, dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE), karnival ini berjaya menarik penyertaan lebih 150 pelajar Tingkatan 3 dan 4, serta 40 guru dari 15 sekolah sekitar Pasir Gudang.
Karnival satu hari ini merupakan sebuah titik permulaan kepada pelajar untuk melihat potensi kerjaya dalam STEM. Ia berlangsung bersempena ulang tahun ke-50 PETRONAS bertema
“Bersama-sama menyambung warisan demi masa depan”.
Karnival ini berfungsi sebagai jambatan antara pembelajaran di bilik darjah dan keperluan dunia sebenar yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk mencabar minda pelajar.
Antara aktiviti utama ialah pertandingan Arduino Race, yang mengetengahkan elemen robotik termasuk pengaturcaraan mikropengawal. Dalam pertandingan ini, pelajar belajar membina dan mengatur kod untuk kenderaan mini yang direka khas untuk perlumbaan.

Dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, Siti Noramalia Aman dan Nurul Solehah Mohd Jasmee, berjaya muncul juara, mengetepikan 74 pasukan lain daripada 15 sekolah menengah yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Siti Noramalia mengakui teruja memenangi pertandingan tersebut walaupun berdepan cabaran baharu, khususnya melibatkan pemasangan struktur kenderaan dan penggunaan bahasa coding.
“Saya gembira kerana dapat pengalaman baharu dengan mengaplikasikan ilmu dipelajari di sekolah bagi menyelesaikan cabaran menerusi pertandingan tersebut,” katanya yang mahu menjadi seorang akauntan.
Nurul Solehah pula berkata, pertandingan Arduino Race dan juga karnival tersebut memberi pendedahan baharu kepada dirinya, tentang kepentingan bidang STEM dalam aktiviti harian.
“Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, bidang STEM semakin penting dan diguna pakai dalam pelbagai bidang.
“Kejayaan kami muncul johan juga membuktikan bahawa bidang STEM robotik boleh diceburi sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, ia bukan bidang khusus bagi lelaki,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang jurutera dalam bidang elektrik.
Selain itu, aktiviti Scribbling Machine yang dikendalikan oleh Petrosains memberi peluang kepada pelajar untuk membina alat kreatif menggunakan konsep pembelajaran abad ke-21.
Dengan menggunakan bahan asas seperti motor, bateri dan pen, pelajar mencipta mesin yang mampu melakar corak secara automatik. Aktiviti ringkas ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memupuk kemahiran berfikir terutamanya menyelesaikan masalah dalam jangka waktu terhad di samping menggalakkan kreativiti dan pemahaman konsep sains serta teknologi.
Pameran STEM turut menjadi tumpuan utama karnival ini. Pelajar berpeluang melawat reruai dari institusi pendidikan (ILP Pasir Gudang, Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar, dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan), PETRONAS Dagangan Berhad dan industri seperti MMHE.
Memperkasa Guru Sebagai Pemimpin STEM
Karnival ini turut menampilkan peranan penting Duta Guru dalam menyokong guru-guru sekolah yang terlibat. Melalui pameran projek inovasi yang disediakan, para guru diberi pendedahan dalam membimbing pelajar meneroka penyelesaian dalam menghadapi cabaran teknikal dengan kreatif.
Tambahan pula, sesi perkongsian inspirasi oleh Duta Guru dan wakil industri berjaya menarik perhatian pelajar. Dalam sesi ini, mereka berkongsi kisah kejayaan masing-masing untuk memberi motivasi kepada pelajar, dengan fokus kepada peluang kerjaya dalam STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Perkongsian ini juga menekankan bagaimana pendidikan teknikal memainkan peranan penting dalam perkembangan teknologi masa kini, sekaligus membuka mata pelajar terhadap potensi kerjaya di masa hadapan.
Menurut Siti Nurhanim Shahar, guru pembimbing Kelab Robotik dan STEM, SMK Pasir Gudang 2, program seumpama itu bukan sahaja berjaya mendedahkan golongan pelajar dalam bidang STEM, malah memberikan persaingan sihat.
“Menerusi penyertaan dalam pertandingan Arduino Race , pelajar diletakkan dalam situasi mereka perlu bersaing untuk membuktikan kemahiran dan kemampuan masing-masing,” katanya.
Seorang lagi guru pembimbing, Nor Farhana Abdullah memberitahu, usaha PETRONAS menganjurkan program itu turut memberi peluang kepada pelajar daripada golongan B40 mendekatkan diri dalam STEM dan TVET yang kebiasaannya membabitkan kos tinggi.
Malah, Karnival STEM itu memudahkan pembelajaran para pelajar dan perkongsian ilmu menerusi pameran projek STEM inovatif yang memberi inspirasi kepada mereka.
PDG merupakan satu inisiatif antara Yayasan PETRONAS bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Teach For Malaysia dan Petrosains sebagai rakan pelaksana dengan tujuan untuk memperkukuh kemahiran 4,500 guru STEM yang bertindak sebagai guru teladan bagi memperkasa mutu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) negara.
Karnival STEM Bersama Duta Guru adalah pemangkin perubahan untuk pelajar mendekati bidang STEM bersama guru. Dengan inisiatif seperti ini, PETRONAS bukan sahaja membantu membangunkan modal insan di Johor tetapi juga menyumbang kepada kemajuan negara.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, kerajaan negeri menggalakkan sekolah menyediakan lebih banyak kelas berkaitan STEM bagi melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi pada masa depan.
“Jika setiap sekolah mempunyai empat kelas aliran sains, saya yakin Program Duta Guru anjuran Yayasan PETRONAS akan berjaya mencapai matlamatnya, sekali gus menyokong usaha Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya semasa merasmikan karnival tersebut, baru-baru ini.
Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd Zaki Dato’ Haji Mahat pula berkata, penganjuran karnival ini mencerminkan komitmen PETRONAS dalam menggalakkan kepelbagaian dalam bidang STEM bagi mewujudkan lebih ramai pelajar perempuan dan pelajar kurang bernasib baik untuk mengikuti bidang STEM.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini selari dengan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan industri di Wilayah Selatan, terutamanya dalam sektor tenaga dan teknologi. – UTUSAN