PETALING JAYA: Sumber industri minyak dan gas masih ragu-ragu sama ada Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak mampu menyelesaikan tuntutan bertindih ke atas minyak dan gas berikutan beberapa kenyataan yang mengundang ketidakpastian mengenai perkara tersebut.
Sumber terlibat berkata, perkara ini mampu beri kesan negatif ke atas kewangan Petronas pada masa depan sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.
Katanya, perkara itu susulan kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa mereka merancang untuk meminta hak meneroka gas di luar pantai serta tempat lain di pelantar benua.
“Permintaan itu pasti akan mewujudkan lebih banyak ketidakpastian. Ia terus membangkitkan persoalan terhadap keseluruhan operasi Petronas di Sarawak,” kata sumber industri itu.
Sumber industri merujuk kenyataan Abang Johari bahawa mereka merancang untuk meminta hak meneroka gas di luar pantai serta tempat lain di pelantar benua.
Abang Johari berkata demikian sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan Sarawak mengiktiraf keutamaan Akta Kemajuan Petroleum (PDA) dan memperakui pemilikan eksklusif Petronas ke atas semua sumber minyak dan gas di seluruh negara.
Katanya, persetujuan itu juga bakal menyaksikan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dilantik sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.
Menurut Anwar, perjanjian antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak menyaksikan Petros memperoleh gas asli sehingga 1.2 billion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.
Kata Perdana Menteri, Sarawak akan memperoleh gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestiknya dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.
Dalam pada itu, sumber industri berkata, tuntutan Premier Sarawak itu juga mampu memberi kesan terhadap eksport gas asli cecair (LNG) Petronas.
“Abang Johari tidak berkata apa-apa mengenai potensi perniagaan baharu terutama perniagaan eksport yang mungkin diperoleh Petronas,” katanya.
Petronas ditubuhkan pada 1974 di bawah PDA sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia mengukuhkan kawalan terhadap sumber minyak dan gas.
Menurut Petronas, antara 1976 dan 2017, syarikat itu menyumbang RM1.2 trilion kepada ekonomi negara.
Pada Selasa lalu, syarikat minyak negara itu mengumumkan untung bersih turun 32 peratus pada 2024 dan melaporkan untung selepas cukai RM55.1 bilion iaitu penurunan daripada RM80.7 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Kewangan Petronas turut mendedahkan hasil daripada segmen gas dan maritim, yang turut merangkumi LNG adalah sebanyak RM131.1 bilion tahun lalu, iaitu peningkatan daripada RM127.4 bilion pada 2023.
Perdana Menteri di Dewan Rakyat sebelum ini memuji syarikat minyak negara kerana memenuhi mandat negara dan menjadi penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad.
Pada 2017, Sarawak menubuhkan Petros untuk mengukuhkan kawalan terhadap sumbernya.
Dalam tempoh setahun lalu, Sarawak mendesak supaya Petronas memeterai perjanjian yang akan menjadikan Petros agregator gas tunggal di sana.
Sementara itu, bekas Menteri, Tengku Razaleigh Hamzah percaya hanya kepimpinan berwawasan boleh menamatkan pertikaian Sarawak serta Petronas berhubung hak sumber minyak dan gas di dalam serta sekitar negeri itu.
Tengku Razaleigh berkata, perkongsian menang-menang antara negeri dan Persekutuan yang dibina atas integriti serta komitmen terhadap pengagihan kekayaan saksama dalam kalangan semua rakyat Malaysia sudah wujud apabila industri minyak dan gas Malaysia ditubuhkan pada 1974.
Beliau kemudian menggesa pemimpin Persekutuan dan negeri mencontohi pandangan jauh pemimpin terdahulu pada awal 1970-an yang mewujudkan struktur lebih tersusun.
Katanya, kerajaan Persekutuan diketuai Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein berunding dengan kerajaan negeri untuk menasionalisasikan semua sumber minyak dan gas serta menubuhkan Petronas.
Beliau berkata, nasionalisasi semua sumber minyak dan gas memberi permulaan baharu kepada Malaysia.
“Kita boleh menggunakan kekayaan minyak untuk membina negara (sekarang), biarkan ia kembang bersama dan rakyat mendapat manfaat.
“Pemikiran murni Tun Razak ialah duit minyak perlu dikembalikan kepada rakyat dan saya bersetuju dengannya,” katanya sambil menambah Perdana Menteri ketika itu mendapat kepercayaan penuh semua pihak untuk menjadi penjaga kekayaan negara.