BANGI: Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) memerlukan komitmen penuh semua pihak bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja diutamakan dalam setiap operasi industri.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Baharudin Mamat berkata, pemain-pemain industri perlu peka dan mengetahui tentang perubahan terkini dalam Akta OSHA serta impaknya terhadap pengurusan risiko dalam pelbagai sektor industri.
“Pemerkasaan budaya keselamatan di tempat kerja adalah tanggungjawab bersama,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perindustrian Malaysia Mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (Malaysian Industrial Conference on OSH – MiCOSH 2025) di sini, baru-baru ini.
Persidangan dua hari anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) serta mendapat sokongan JKKP itu bertemakan Keperluan Baharu OSHA 1994 dan Implikasinya terhadap Industri dalam Mengurus Risiko Berasaskan Prinsip Pencegahan OSH (OSHPoP).
Ia bertujuan memberi pencerahan kepada pemain industri tentang perubahan terkini dalam Akta OSHA dan impaknya terhadap pengurusan risiko dalam pelbagai sektor industri menerusi sesi pembentangan dan forum pelbagai topik termasuk cabaran dalam pengurusan risiko di sektor minyak dan gas, perkilangan, pembinaan, perladangan dan tenaga.
Antara barisan penceramah ialah Presiden Persatuan Perunding dan Jurulatih Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Malaysia (CONTRA), Zariman Zainuddin; Ketua Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) YTL Construction Sdn. Bhd., Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar dan Presiden MiSHA, Aziz Basiran.
Baharudin berharap MiCOSH terus menjadi platform utama dalam meningkatkan kesedaran serta memperkukuh amalan terbaik dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.
Sementara itu, MiSHA dalam satu kenyataan memaklumkan, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara persatuan itu dan CONTRA semasa persidangan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui pelbagai inisiatif konsultansi serta latihan.
Menerusi persefahaman itu, katanya, MiSHA berperanan memberi khidmat kepakaran bagi perancangan, pelaksanaan dan perluasan inisiatif konsultansi dan latihan selain menubuhkan pasukan teknikal bersama CONTRA bagi menjalankan aktiviti dari masa ke semasa.
CONTRA pula berperanan menyediakan tenaga pakar bersesuaian, bahan dan sokongan logistik untuk aktiviti, membantu dalam mempromosikan program bersama serta meningkatkan kualiti dan kompetensi konsultan dan jurulatih.
“Kerjasama strategik ini diharap dapat memperkukuh lagi standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia dengan memperluas akses kepada sumber dan kepakaran yang lebih baik dalam industri,” katanya. – UTUSAN