PATMI LBS capai tahap tertinggi dalam 11 tahun

PATMI LBS capai tahap tertinggi dalam 11 tahun

Lakaran artis projek Centrum Iris, iaitu pembangunan komersial bercampur terbesar di Cameron Highlands.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hasil penstrukturan strategik dan penambaikan portfolio

* PATMI meningkat sebanyak 63.5%, didorong oleh pelupusan Litar Antarabangsa Zhuhai

*Bank tanah seluas 3,789 ekar dan jualan belum dibil sebanyak RM1.68 billion jamin pertumbuhan jangka masa panjang dan keuntungan

*Di bawah Strategi 8 x 8, Centrum Iris dengan GDV sebanyak RM472.0 juta telah dilancarkan. 

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan”), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, hari ini mengumumkan kewangan tidak diaudit bagi tahun penuh berakhir pada 31 Disember 2024 (“FYE2024”), mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (“PATMI”) daripada operasi berterusan sebanyak RM240.2 juta, mencapai jumlah tertinggi dalam tempoh 11 tahun.

PATMI Kumpulan meningkat sebanyak 63.5% berbanding RM146.9 juta tahun sebelumnya, dipacu oleh penyusunan strategik dan penambahbaikan portfolio, termasuk pelupusan pelaburan dalam Zhuhai International Circuit Limited (“ZIC”).

Pelupusan ini bertujuan membuka nilai terpendam, menghasilkan keuntungan selepas cukai sebanyak sekitar RM156.0 juta, sekali gus mengukuhkan prestasi kewangan LBS dengan ketara.

Selain itu, kecekapan operasi yang dipertingkatkan turut menyumbang kepada prestasi keseluruhan Kumpulan, disokong oleh fokus berterusan terhadap langkah-langkah pengurusan kos bagi memastikan pertumbuhan dan kestabilan kewangan. Ini mengakibatkan keuntungan selepas cukai bagi segmen pembangunan hartanah meningkat sebanyak 14.3% daripada RM171.6 juta berbanding RM150.2 juta pada tahun lalu.

Pendapatan bagi tahun tersebut adalah RM1.43 bilion, yang sebahagian besarnya diperoleh daripada segmen pembangunan hartanah yang menyumbang RM1.37 bilion atau 95.6% daripada jumlah pendapatan FYE2024.

Lim Hock San

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr) Lim Hock San berkata: “Kami berbesar hati untuk mengumumkan keputusan penuh tahun 2024 yang mencerminkan komitmen teguh kami terhadap kecemerlangan dan pertumbuhan mampan, khususnya dalam segmen pembangunan hartanah.”

Menurutnya, prestasi kukuh ini disokong oleh jumlah jualan hartanah sebanyak RM1.3 bilion sepanjang tahun, yang didorong oleh kejayaan projek kami di Lembah Klang, khususnya KITA @ Cybersouth, Alam Perdana Central Hub dan Idaman Melur.

Berdasarkan prestasi kewangan kecemerlangan bagi FYE2024 dan fokus utama untuk memacu pertumbuhan, LBS baru-baru ini memperkenalkan Strategi 8 x 8, sebuah pelan hala tuju korporat yang merangkumi tempoh tiga tahun dari 2025 hingga 2027, ujarnya.

Beliau berkata, strategi ini menegaskan komitmen Kumpulan untuk melaksanakan rangkaian projek pembangunan dengan nilai berjumlah RM8.0 bilion sekali gus memanfaatkan bank tanah seluas 3,745 ekar.

“Sebagai sebahagian daripada pelan ini, Centrum Iris, presint kedua Cameron Centrum dan pembangunan komersial bercampur terbesar di Cameron Highlands, telah dilancarkan pada Januari lepas dengan Pensijilan ‘GreenRE Silver’, mencerminkan komitmen LBS terhadap kelestarian hijau.

“Dengan unjuran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM472.0 juta, Centrum Iris dijangka mentransformasikan landskap komersial kawasan tersebut serta mengukuhkan kedudukan LBS dalam pasaran hartanah,” katanya.

Hock San berkata, bagi menyokong trajektori pertumbuhannya, LBS berjaya menerbitkan tranche kedua ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah, mengumpul RM400.0 juta bagi membiayai projek pembangunan akan datang. Dana ini akan memberi tumpuan kepada inisiatif perumahan mampu milik, program pembangunan komuniti serta projek yang memperkukuh kelestarian.

“Melangkah ke hadapan, kami mengekalkan prospek yang optimis namun berwaspada,” ujarnya.

Katanya, strategi penyusunan semula kami melalui pelupusan ZIC telah membolehkan kami menumpukan perhatian kepada keupayaan teras, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan Kumpulan secara signifikan. Langkah ini telah menjana rizab modal kukuh dan memberikan fleksibiliti kepada Kumpulan untuk meneroka pelaburan atau pemerolehan baharu bernilai tinggi serta memberi ganjaran kepada pemegang saham.

“Selain itu, Strategi 8 x 8 berupaya mentransformasikan pembangunan hartanah melalui inovasi, mewujudkan komuniti dinamik dan meningkatkan gaya hidup yang memenuhi permintaan pasaran serta memperkukuh kehidupan komuniti. Projek-projek kami terus mendapat sambutan memberangsangkan, membuktikan keupayaan Kumpulan dalam menyediakan hartanah berkualiti tinggi yang memenuhi aspirasi pasaran.

“Dengan jualan yang belum dibil sebanyak RM1.68 bilion serta peningkatan jualan projek baharu Centrum Iris, Kumpulan yakin projek-projek ini akan terus mengukuhkan kedudukan LBS sebagai pemaju hartanah terkemuka serta menyumbang kepada kejayaan berterusan Kumpulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN