Majlis Presiden tentukan PH Johor gerak solo atau bersama BN

Majlis Presiden tentukan PH Johor gerak solo atau bersama BN

Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanya ditentukan oleh Majlis Presiden pakatan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan menentukan sama ada parti itu akan berkerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2027.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada majlis itu untuk menentukan masa depan politik di negeri tersebut.

Katanya, untuk calon Menteri Besar, semua parti gabungan atau kerjasama yang memenangi kerusi terbanyak boleh mengemukakannya namun perkara itu belum menjadi topik perbincangan buat masa ini.

“Pada masa ini, PH Johor hanya menumpukan sepenuhnya kepada persediaan pilihan raya selain menyampaikan maklumat program dan inisiatif Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seharusnya dinikmati oleh Bangsa Johor ke arah membangunkan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Pagoh di sini, semalam.

Walaupun PH dan BN merupakan parti yang membentuk kerajaan Pusat, namun di peringkat negeri ini, PH Johor tidak diberikan peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

PRN Johor yang berlangsung kali terakhir pada 2022 menyaksikan BN menguasai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH pula 16 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memiliki dua wakil serta seorang wakil Parti Muda.

Mengulas pelantikan sebagai Pengerusi PH Johor, Aminolhuda berkata, beliau mahu menumpukan sepenuhnya kepada persediaan pilihan raya selain menyampaikan informasi program serta inisiatif Kerajaan Madani kepada rakyat.

Katanya, visi utamanya adalah menyatupadukan rakyat dengan konsep muafakat dengan membawa agenda Madani, menolak politik sempit-taksub dan menolak budaya fitnah serta perkauman.

“Kami juga akan bersama-sama memperkukuhkan jentera pilihanraya setiap parti dalam PH Johor dengan melakukan aktiviti-aktiviti bersama rakyat negeri ini termasuk siri Jelajah Rahmah Johor.

“Melalui jelajah itu nanti akan mempertingkatkan bagi memastikan agenda kerajaan Madani dapat difahami dan manfaatnya dapat dikecapi oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN