BERTEMU dan berpisah adalah perkara lumrah di dalam kehidupan setiap insan, namun semua pengisian perjalanannya termasuk kenangan dan ilmu yang dicurahkan tetap kekal dalam ingatan.
Bagi mengabadikan kenangan terakhir sepanjang perjalanan pelbagai warna dalam program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi, warga Akademi Tunas Hulu Terengganu (ATHT) Bawah Usia 12 tahun (U12) bagi musim 2024 menganjurkan majlis perpisahan di Pantai Pulau Kekabu, Marang, Terengganu, kelmarin.
Majlis santai tetapi penuh bermakna itu dihadiri para pelatih, jurulatih dan waris sebagai tanda ingatan serta kenangan memandangkan para pelatih akan meninggalkan akademi itu dengan membawa haluan masing-masing apabila memasuki sekolah menengah tahun ini.
Ketua Jurulatih ATHT (U12) 2024, Hanafi Md. Hussin menitipkan pesanan bahawa perjalanan hidup pelatih masih panjang dan memanfaatkan ilmu yang diperoleh sepanjang berada di dalam akademi bola sepak itu selain mendoakan mereka terus sukses dalam apa juga yang dilakukan. – UTUSAN