KUANTAN: Penganjuran Karnival RISDA Madani (Karrisma) Peringkat Zon Timur 2025 merupakan usaha mengekalkan momentum dan melestarikan komuniti pekebun kecil yang menjadi tulang belakang industri getah negara.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Karissma menjadi touch point penting Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan pekebun kecil untuk kekal bersama dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Saya yakin, RISDA telah mengambil langkah proaktif melalui Karrisma ini dengan memperkenalkan pelbagai manfaat kepada pekebun kecil dan masyarakat umum di Zon Timur, khususnya di negeri Pahang.
“Sebanyak 109 pempamer dan peniaga menyertai Karrisma Zon Timur 2025, terdiri daripada 83 usahawan serta 26 agensi kerajaan dan swasta.
“Dengan penyertaan pelbagai pihak serta sokongan kerajaan negeri, karnival ini menjadi pemangkin pembangunan ekonomi desa, selain membuka peluang luas kepada pekebun kecil dan masyarakat,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Karrisma Peringkat Zon Timur 2025 di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah Risda, Zainal Azni Zulkifli.
Program itu merupakan usaha murni kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta RISDA dalam menyantuni masyarakat zon timur, yang merangkumi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan, khususnya warga desa dan pekebun kecil getah.
Sesungguhnya, karnival ini mampu menyemarakkan lagi usaha RISDA dalam memartabatkan sektor industri getah negara melalui komuniti pekebun kecil, yang selama ini menjadi ‘wira getah’ negara.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, Karissma bukan hanya sekadar program sahaja, tetapi menjadi platform berimpak tinggi untuk mengangkat martabat komuniti desa ke tahap lebih membanggakan selaras dengan Aspirasi Desa Madani yang dicetuskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Pekebun kecil hari ini perlu diberi sokongan melalui inisiatif baharu yang mampu mencipta peluang meningkatkan pendapatan dan tidak lagi hanya bergantung semata-mata kepada hasil kebun getah sahaja.
“Ini kerana, pasaran harga getah dunia kini dilihat semakin mencabar, justeru usaha untuk mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi fokus kerajaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi komuniti pekebun kecil,” katanya.
Oleh itu beliau berkata, strategi memperkasa pekebun kecil getah melalui pelbagai inisiatif peningkatan pendapatan menjadi agenda utama KKDW dan RISDA agar golongan itu dapat menjana pendapatan daripada sumber yang pelbagai untuk memperbaiki taraf hidup mereka sekeluarga.
“Sejajar objektif ini, pada tahun ini RISDA memperuntukkan RM123.11 juta bagi menyediakan pelbagai inisiatif bantuan dalam program pembangunan pekebun kecil di Zon Timur merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Ini meliputi bantuan penanaman semula getah, disokong pelbagai inisiatif lain, termasuk bantuan prasarana ladang, input pertanian, peningkatan ekonomi melalui keusahawanan dan agromakanan, pembangunan kemahiran dan modal insan, sehinggalah bantuan khairat kematian.
“Dengan adanya pelbagai inisiatif ini, saya percaya pekebun kecil mempunyai peluang lebih luas untuk meningkatkan taraf hidup, sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan kemakmuran dan kelestarian komuniti ini terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim menjelaskan, Kerajaan Pahang akan sentiasa memberi sokongan penuh terhadap inisiatif KKDW dan RISDA demi kemakmuran pekebun kecil di negeri ini. – UTUSAN