Karnival MFJ tawar 5,000 pekerjaan di swasta, awam

Karnival MFJ tawar 5,000 pekerjaan di swasta, awam

Gayathri Vadivel (berdiri tengah, kanan) dan Timbalan Setiausaha (Pengambilan) SPA, Sharenawane Hussin@Mukhtar mendengar taklimat di reruai SPA pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs bersama SPA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam. – MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyertai Karnival Kerjaya MYFutureJobs (MFJ) yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi merancakkan lagi pasaran buruh negara.

Menariknya pada karnival kali ini, SPA mengadakan temu duga terbuka bagi jawatan Pengajar Gred U9 (Teknologi Pergigian) dan Ujian Kecergasan dan Pemeriksaan Fizikal (UFPK).

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, temu duga secara terbuka itu merupakan inisiatif yang julung kali diadakan bagi menunjukkan komitmen SPA dalam meningkatkan jumlah calon yang berkelayakan.

Katanya, ia juga bertujuan menarik minat calon-calon yang berpotensi untuk memohon jawatan yang ditawarkan.

“Inisiatif ini merupakan langkah terkedepan SPA dalam menambah baik proses pengambilan yang lebih fleksibel dan memenuhi keperluan semasa perkhidmatan kritikal.

“Untuk tujuan ini, SPA telah membuat persediaan rapi bagi memastikan pelaksanaannya adalah telus, teliti dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Jawatan Pengajar Gred U9 (Juruteknologi Pergigian) yang dibuka untuk temu duga kali ini adalah tertakluk kepada calon yang memenuhi syarat ditetapkan dan berdasarkan kekosongan jawatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara, UFPK terbuka yang dilaksanakan turut melibatkan pemeriksaan fizikal dan pancaindera seperti ujian penglihatan, Body Mass Index (BMI), pengecaman warna, pemeriksaan tubuh badan dan gaya berjalan.

Dalam karnival selama dua hari berakhir hari ini, sebanyak 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan termasuk jawatan seperti Pengurus Kewangan Perniagaan, Pengurus Kumpulan Kewangan, Pengarah Jualan dan Konsultan Teknikal yang menawarkan gaji sehingga RM15,999.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Perkeso, Gayathri Vadivel berkata, kerjasama dengan SPA merupakan salah satu inisiatif Perkeso untuk meningkatkan tawaran pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Sebanyak 35 syarikat swasta dan badan berkanun terlibat termasuk Habib Group, IHH Healthcare Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Chong Group, GHL System, Agro Bank, Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), Bank Islam dan lain-lain.

“Kita yakin dengan kerjasama strategik ini, peluang untuk pencari kerja awam mengakses jawatan kerajaan melalui MFJ dan karnival kerjaya akan memberikan impak yang positif sekali gus menjimatkan masa dan menangani sebarang kerenah birokrasi,” katanya.

Untuk rekod, MFJ seliaan PERKESO melaksanakan 4,156 karnival kerjaya dan temu duga sepanjang tahun lalu, dengan 53,327 individu berjaya mendapat pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN