PENAMPANG: Program Jom@COOP dilihat menjadi pemangkin pembangunan modal insan dalam gerakan koperasi yang dilaksanakan di 50 lokasi seluruh negara pada tahun ini.
Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd. Ali Mansor berkata, program itu bukan hanya membolehkan mereka menyantuni anggota koperasi tetapi juga membantu memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan IKMa dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
Katanya, IKMa turut merangka beberapa program transformasi digital yang boleh diadaptasi oleh koperasi selaras Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030.
“Sepanjang tahun ini, IKMa telah merancang sebanyak 650 program di seluruh negara, meliputi empat kluster utama iaitu Pembangunan Kepimpinan Koperasi (Pimpin), Asas Perniagaan Koperasi (COOPbif), khidmat bimbingan koperasi bersasar dan program belia dan komuniti koperasi.
“Ia selaras dengan hasrat IKMa untuk meningkatkan kapasiti koperasi dan melahirkan pemimpin yang berdaya saing,” katanya semasa merasmikan Program Jom@COOP yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di ITCC pada Ahad.
Program Jom@COOP di Penampang dianjurkan dengan kerjasama Bank Rakyat dan rakan strategik IKMa yang lain.
Menurut Mohd. Ali, sasaran jumlah pendapatan gerakan koperasi RM73 bilion setahun dilihat mampu dicapai menjelang 2030 sekiranya anggota koperasi bekerja bersama-sama dalam meningkatkan aset dan hasil perolehan mereka.
Sementara itu, Ewon berkata, gerakan koperasi perlu memanfaatkan peluang dalam ekonomi hijau dan pendigitalan untuk memperkukuhkan daya saing mereka.
Katanya, koperasi di negara ini perlu menghayati semangat jati diri serta mengambil peranan lebih aktif untuk menjadi peneraju dalam inisiatif ekonomi hijau dan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing.
“Kejayaan koperasi bukan sahaja memberi manfaat kepada ahlinya tetapi turut memacu kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. Ia bertepatan dengan tema tahun koperasi antarabangsa pada tahun ini iaitu Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) di bawah IKMa sebagai langkah strategik untuk melahirkan modal insan berpengetahuan dalam sektor koperasi.
Beliau juga mahu golongan belia dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempertimbangkan UKKM sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian.
Ewon berkata, dengan adanya sinergi antara agensi-agensi di bawah kementerian iaitu IKMa, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan gerakan koperasi sendiri diyakini mampu melonjak ke tahap lebih tinggi.
Jelas beliau, koperasi boleh berperanan sebagai ‘vehicle of transformation’ yang mampu meningkatkan sosioekonomi anggota dan kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, jumlah koperasi di seluruh negara sehingga Jun tahun lalu adalah sebanyak 16,009 buah dengan kekuatan anggota seramai 7.15 juta orang.
Ia melibatkan jumlah syer dan yuran terkumpul sebanyak RM18 bilion, jumlah aset terkumpul bernilai RM171.40 bilion dan perolehan sebanyak RM33.05 bilion.
Di Sabah, terdapat sebanyak 1,993 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 368,136 orang manakala umlah syer dan yuran adalah sebanyak RM264.64 juta, jumlah aset sebanyak RM966.65 juta dan perolehan pula sebanyak RM363.98 juta. – UTUSAN