Fi pengeluaran RM1, bebanan atau kemudahan?

Fi pengeluaran RM1, bebanan atau kemudahan?

KOS penyelenggaraan ATM adalah tinggi dan tidak dapat ditanggung walaupun pengeluaran tunai melalui ATM antara bank dikenakan kepada pengguna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAEDAH pengeluaran tunai melalui mesin teler automatik (ATM) antara bank yang dikenakan sebanyak RM1 bagi setiap transaksi lazimnya dilihat sebagai bebanan, terutama kepada penduduk luar bandar.

Data terkini dikeluarkan bank-bank di Malaysia menunjukkan, majoriti masyarakat luar bandar terutama yang berpendapatan rendah mengeluarkan wang tunai daripada ATM bank mereka sendiri.

Misalnya di daerah terpencil di Pitas, Sabah, pengeluaran ATM antara bank hanya menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah transaksi ATM.

Begitu juga di Kota Setar, Kedah yang mempunyai lapan ATM tersedia, data menunjukkan lebih kurang 75 peratus pengeluaran adalah melibatkan bank pelanggan itu sendiri.

Berbanding situasi di bandar seperti Kuching, Sarawak, pengeluaran ATM antara bank merangkumi sekitar 60 peratus daripada jumlah transaksi.

Kedua-dua senario itu berkemungkinan disebabkan oleh kecenderungan mereka yang tinggal di luar bandar membuka akaun di bank yang berada berhampiran tempat tinggal manakala masyarakat bandar pula lebih mementingkan kedudukan ATM yang mudah diakses, tanpa mengira bank.

Adakah RM1 itu membawa keuntungan kepada bank, pengendali dan penyelenggara rangkaian sistem ATM iaitu PayNet atau Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri?

Persoalan sedemikian sering dilontarkan pelbagai pihak termasuk orang awam yang melihat perkhidmatan berkenaan sebagai ‘beban’ dan bukannya ‘kemudahan’ dalam urusan perbankan.

Menurut sumber, kos penyelenggaraan ATM adalah tinggi dan tidak dapat ditanggung walaupun fi berkenaan dikutip.

Daripada RM1 yang dikenakan, hanya sebahagian kecil daripadanya diperuntukkan kepada PayNet untuk mengendalikan dan menyelenggara rangkaian sistem yang membolehkan pengeluaran tunai antara bank.

Bakinya diperuntukkan kepada bank untuk menampung operasi ATM termasuk kos pengangkutan kemasukan wang tunai, penyelenggaraan sistem keselamatan dan pemeliharaan sistem dan sewa premis.

Difahamkan, nilai RM1 itu ditetapkan pada 1990 yakni mengikut kos operasi perkhidmatan untuk 30 tahun lalu.

Ironinya, harga sebungkus nasi lemak yang dijual 60 sen pada 1990 telah meningkat hampir RM2 sekarang.

Adakah PayNet meraih keuntungan RM544 juta atau BNM menerima 36 sen daripada setiap transaksi seperti didakwa beberapa pihak?

Semakan mendapati, PayNet tidak mengisytiharkan dividen kepada mana-mana pemegang sahamnya.

Sebagai penyedia utiliti pasaran kewangan negara, PayNet melaburkan semula sebarang lebihan keuntungan untuk memperkukuh infrastruktur kewangan Malaysia.

Contoh pelaburan semula ini ialah pengecualian semasa untuk transaksi DuitNow di bawah RM5,000 yang membolehkan pengguna menikmati manfaat e-pembayaran tanpa kos.

Data pada 2021 menunjukkan, kos untuk mengekalkan sesebuah ATM adalah antara RM1.50 dan RM2 bagi setiap transaksi.

Sekiranya tidak dikenakan, pemain industri perbankan mungkin akan mengehadkan penggunaan ATM hanya kepada pelanggan mereka sendiri dengan menyekat akses bagi transaksi antara bank.

Bank-bank juga dilihat berpotensi mengurangkan bilangan ATM dalam rangkaian secara keseluruhan lantas menyebabkan keterbatasan akses terhadap pengguna, selain mengehadkan perkhidmatan perbankan penting bagi beberapa komuniti.

Untuk memastikan keseimbangan antara kemampanan operasi dan akses pengguna serta menyokong infrastruktur kewangan kukuh yang memberi manfaat kepada semua, sewajarnya nilai RM1 itu tidak boleh dilihat sebagai bebanan.

Selain pengeluaran ATM antara bank, pengeluaran wang secara percuma sentiasa tersedia sama ada daripada ATM bank sendiri atau melalui 4,000 ejen bank yang dilantik dan bank bergerak.

Selain itu, pengguna juga boleh berbuat demikian melalui inisiatif MyDebit Cash Out (MDCO) yang ditawarkan di kedai-kedai runcit yang mengambil bahagian termasuk cawangan Pos Malaysia yang terpilih dengan serendah 50 sen setiap transaksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN