EON terajui revolusi pasaran EV

EON terajui revolusi pasaran EV

PENGARAH Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar (tiga, kanan) bersama Akkbar Danial (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong (tiga, kiri) membuat lawatan selepas Majlis Pembukaan Ruang Pameran Pertama Proton e.MAS 7 di EON Glenmarie, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Setelah empat dekad mencipta nama dalam industri automotif tempatan, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON Berhad), yang merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad, kini berada di landasan tepat untuk menerajui revolusi pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial berkata, perjalanan EON dalam pasaran EV bermula dengan jenama Audi melalui model Audi e-tron. Kemudian, EON telah memperluaskan rangkaiannya untuk menjadi pengedar jenama smart dan muncul sebagai pengedar terbaik smart pada tahun 2024 di Malaysia.”

“Terbaharu, penambahan Proton e.MAS sebagai salah satu jenama dalam portfolio EON mencerminkan langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran EV. Daripada menjadi pengedar tradisional, kami berkembang dengan membuka pusat jualan khas untuk jenama EV, menunjukkan komitmen kami terhadap perubahan industri automotif di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Di dorong dengan peningkatan penggunaan kenderaan EV dalam landskap automotif Malaysia, EON telah mengambil pendekatan digital yang merupakan kunci utama dalam memastikan EON terus relevan dalam industri automotif khususnya bagi memenuhi keperluan pembeli EV, termasuklah yang lebih muda dan celik teknologi.

“Transformasi syarikat melalui teknologi digital ini adalah sebahagian daripada strategi untuk memenuhi keperluan pasaran automotif terutamanya pasaran EV yang semakin berkembang,” jelas Akkbar.

Kata beliau, pihaknya bersedia memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan oleh pasaran EV di Malaysia sejajar dengan hala tuju negara ke arah teknologi hijau dan mobiliti mampan.

Justeru, katanya, dengan kemajuan dan kesediaan teknologi digital, EON kini bersedia memacu kebersanan ini dalam memastikan kedudukannya kekal sebagai peneraju utama dalam industri EV di Malaysia.

Di antaranya memperkenalkan platform digital untuk jualan dan tempahan EV. Platform digital ini memberikan kemudahan kepada para pelanggan untuk membuat tempahan, memilih spesifikasi kenderaan dan mendapatkan pembiayaan dalam talian.

Akkbar berkata, laman web eon.com.my kini sedia untuk e-dagang sepenuhnya dan pelanggan boleh membuat tempahan hanya dengan bayaran RM500 secara dalam talian, memohon pinjaman serta menyelesaikan pembelian kereta tanpa perlu ke pusat jualan.

Dalam aspek selepas jualan, jelasnya, EON memanfaatkan penggunaan teknologi digital dan membuat penambahbaikan platform digital syarikat untuk meningkatkan pengalaman pelanggan sekali gus memenuhi keperluan pemilik EV.

“Pelanggan boleh membuat tempahan penyelenggaraan secara real-time di laman web kami. Ini membolehkan pelanggan memilih masa dan lokasi yang sesuai secara dalam talian dengan notifikasi dihantar apabila kereta mereka siap.

“Ia bukan sahaja menjimatkan masa pelanggan tetapi juga memudahkan proses selepas jualan secara menyeluruh melalui platform digital yang disediakan,” jelasnya.

Tambah beliau, langkah ini bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan malah memastikan EON terus relevan sebagai peneraju utama dalam pasaran automotif yang semakin kompetitif.

Selain itu, perjalanan transformasi EON turut melibatkan pelbagai aspek seperti pengalaman pelanggan dan ketersediaan infrastruktur di pusat jualan. Reka bentuk pusat jualan turut diperbaharui supaya lebih terbuka, moden, mempunyai ciri pintar dan gaya hidup lestari serta selesa seiring dengan keperluan generasi muda yang mengutamakan teknologi dalam membuat keputusan pembelian.

“Pelanggan EV biasanya sudah mempunyai pengetahuan mendalam sebelum tiba di pusat jualan. Oleh itu, kami melatih perunding jualan di EON untuk memberi maklumat lebih terperinci, bukan sekadar mengulangi apa yang pelanggan sudah tahu,” tambahnya.

Mengenai pembangunan infrastruktur digital dan penyelenggaraan, Akkbar berkata, EON turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pengendali stesen pengecas bagi memperluas rangkaian pengecasan EV di Malaysia.

Katanya, pihaknya turut memberi tumpuan dalam menyediakan maklumat terperinci kepada pelanggan mengenai penggunaan, pengecasan dan penyelenggaraan kenderaan tersebut.

“Dalam memastikan ekosistem yang padu dan mesra pengguna, EON berkolaborasi bersama pengendali stesen pengecas untuk membina rangkaian pengecasan EV, termasuk pengecas pantas. Kolaborasi ini dapat memastikan pembangunan infrastruktur digital yang komprehensif dan mempermudah pengalaman pengguna EV,” katanya.

“Pelanggan boleh membuat tempahan penyelenggaraan secara real-time di laman web kami. Ini membolehkan pelanggan memilih masa dan lokasi yang sesuai secara dalam talian dengan notifikasi dihantar apabila kereta mereka siap.

“Ia bukan sahaja menjimatkan masa pelanggan tetapi juga memudahkan proses selepas jualan secara menyeluruh melalui platform digital yang disediakan,” jelasnya.

Selain itu, menurut Akkbar, sokongan insentif kerajaan turut menggalakkan penggunaan dan pembelian kenderaan EV. Ini menjadikan harga kenderaan EV lebih kompetitif dan lebih mampu milik kepada para pengguna.

“Insentif ini sangat penting terutama dalam teknologi baharu seperti EV. Tanpa sokongan kerajaan, harga EV mungkin menjadi halangan besar dan sukar untuk menarik minat pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik lanjutan pengecualian duti eksais untuk pengoperasian kilang pemasangan (CKD) sehingga 2027, yang dianggap penting dalam memastikan pertumbuhan jangka panjang pasaran EV di Malaysia.

Melalui pendekatan strategik dan komitmen jangka panjang, EON optimis bahawa pihaknya akan terus menjadi teras dalam pasaran EV yang sedang berkembang pesat di seluruh negara.

“Kami tidak hanya menyesuaikan diri dengan perubahan dan budaya inovasi ini tetapi turut memimpin perubahan untuk masa depan automotif Malaysia. Dari jualan kenderaan hingga selepas jualan, kami komited dalam memenuhi keperluan dan meningkatkan pengalaman pelanggan serta mencipta nilai jangka panjang di EON,” kata Akkbar.

“Saya juga percaya bahawa pendekatan strategik EON dalam mengadaptasi teknologi, memanfaatkan insentif kerajaan dan memenuhi keperluan pelanggan moden akan terus mengukuhkan kedudukan EON sebagai penggerak industri automotif di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN