PETALING JAYA: CUCKOO bersama Yayasan Nurjiwa rai Tahun Baru Cina bersama lebih 120 anak yatim dan tetamu warga emas dari Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Jing Sun, Yayasan Sunbeams, dan Rumah Charis pada Majlis Makan Tengah Hari Amal Tahun Baru Cina #SAMASAMABuatBaik di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International, KC Hoe berkata, CUCKOO sentiasa percaya bahawa kemakmuran hanya bermakna jika ia dikongsi bersama.
“Pasukan kami sentiasa memandang ke hadapan untuk mencari pelbagai cara untuk memberi impak positif terhadap komuniti, jadi kami sangat berbesar hati dapat menyebarkan kemesraan dan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan pada Tahun Baru Cina ini, supaya tiada yang ketinggalan dalam suasana perayaan.
“Menyambut musim perayaan ini #SAMASAMA dengan lebih dari 120 kanak-kanak dan warga emas adalah sangat menyejukkan hati, dan kami harap makan tengah hari ini membawa senyuman ke wajah-wajah mereka.
“Malah, kami juga sentiasa menunggu peluang baru untuk menyumbang kepada komuniti pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Bersama dan Duta CUCKOO, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, Tahun Baru Cina merupakan musim untuk bergembira, bermesra, dan bermurah hati kepada masyarakat.
“Saya amat berbesar hati dapat menyambut upacara istimewa hari ini dengan semua yang hadir, bukan sahaja berkongsi makanan, malah berkongsi detik-detik kemesraan dan kegembiraan.
“Saya juga bersukacita dengan perkembangan hubungan saya dari menjadi duta hingga menjadi rakan komuniti yang dapat memberi impak positif terhadap masyarakat.
“Melalui Yayasan Nurjiwa dan CUCKOO, kami berharap untuk terus menyebarkan kasih sayang, menyentuh kehidupan dan memberi kesan yang bermakna buat mereka yang memerlukan,” katanya.
Acara tersebut bermula dengan sambutan meriah yang menampilkan tarian singa dan persembahan topeng (bian lian) oleh kanak-kanak dari Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Jing Sun.
Maskot Tahun Ular Astro, Xilele juga membuat penampilan istimewa, diikuti dengan persembahan hebat dari penyanyi dan artis Xiao Wei Wei, Tedd Chan, Hayden, dan Jonathan Lee dengan lagu tema Tahun Baru Cina Astro 2025 – SHARE丰年 dan lagu klasik Tahun Baru Cina, Cai Sheng Dao.
Kemuncak acara tersebut adalah persembahan terharu lagu ‘Yue Liang Dai Biao Wo De Xin, Zheng Fu dan Bukan Cinta Biasa oleh Siti Nurhaliza.
Makan Tengah Hari Amal Tahun Baru Cina #SAMASAMABuatBaik, dianjurkan oleh CUCKOO dan Yayasan Nurjiwa, juga disokong oleh Multimedia Group, Astro, Kinohimitsu, SRJK (C) Yoke Nam, dan Persatuan Keturunan Xu Pantai Selangor.
Ia juga adalah sebahagian daripada ‘CUCKOO Loves, Cares Project’, sebuah projek jangka panjang yang menumpukan terhadap penciptaan impak positif terhadap masyarakat melalui pelbagai inisiatif komuniti dan sosial.
Sebelum ini, CUCKOO telah menyokong Yayasan Nurjiwa dalam mengumpul dana untuk kerja-kerja amal melalui konsert ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ dan juga menyokong acara SIMPLYSITI Di Hati 2019 yang mengumpul dana untuk kanak-kanak yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) Malaysia. – UTUSAN