KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menyediakan dana sebanyak RM3.6 juta bagi meningkatkan kemahiran dan akses pendidikan berkualiti kepada golongan B40 khususnya 9,000 penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih.
Inisiatif ini dilaksanakan melalui Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di empat PPR sekitar Lembah Klang, iaitu Bukit Jalil, Lembah Subang, Perumahan Awam Seri Selangor, dan Seri Alam.
Menerusi program ini, CIMB akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa komuniti dalam aspek pendidikan dan ekonomi, khususnya untuk golongan kurang berkemampuan di PPR terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Novan Amirudin berkata, CIMB komited dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat untuk mengembangkan usaha-usaha kewangan sosial dengan membantu mereka membina daya saing, memfokuskan isu-isu ekonomi termasuk kekurangan pekerjaan, akses pendidikan dan literasi kewangan.
Beliau berkata, menerusi program ini, CIMB berhasrat untuk menggalakkan nilai sara diri, mencipta nilai positif jangka panjang dan memastikan kesamarataan akses terhadap sumber dan peluang bagi individu dan keluarga demi meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.
“Inisiatif-inisiatif ini menyediakan kaedah tepat, sumber dan kemahiran diperlukan untuk membina kehidupan yang mampan dengan memberi fokus terhadap pemerkasaan ekonomi dan keterangkuman kewangan.
“Kami membantu individu untuk membina masa depan lebih cerah dan lestari. Usaha-usaha ini mencipta kesan berganda yang memacu perubahan bermakna dan transformatif bagi masyarakat setempat,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Program Santuni Madani di PPR Pinggiran Bukit Jalil 2 di sini, hari ini.
Turut hadir merasmikan majlis tersebut adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif.
Santuni Madani merupakan inisiatif kerajaan yang melibatkan pemimpin dari pelbagai Kementerian Persekutuan; Agensi; Jabatan; Badan Berkanun; Syarikat Pelaburan Berkaitan
Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan golongan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Dalam sektor pendidikan, CIMB Foundation menumpukan usaha meningkatkan literasi, numerasi serta kadar pelajar tamat persekolahan melalui Program GEAR-uP, dengan menawarkan kelas tambahan percuma kepada pelajar keluarga B40.
Aspek ekonomi pula, CIMB menyediakan program seperti Program Keusahawanan CIMB Islamic untuk peniaga baharu, iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur bagi pekerja ekonomi gig, MicroBizReady untuk perusahaan kecil, serta Latihan Menambah Kemahiran dalam bidang jahitan bagi meningkatkan peluang pendapatan.
Selain itu, CIMB turut membantu mengatasi keperluan asas komuniti melalui inisiatif seperti Program Bakul Makanan dan Program Kembali ke Sekolah, yang menyediakan barangan keperluan kepada keluarga kurang berkemampuan bagi menyokong kesejahteraan dan pendidikan anak-anak mereka.
Amir Hamzah berkata, Program yang diterajui CIMB menunjukkan betapa pentingnya peranan sektor swasta dalam memperkasa golongan rentan dan menggerakkan perubahan bermakna melalui inisiatif Santuni MADANI.
“Kerajaan komited dalam memastikan tiada insan yang ketinggalan dalam usaha kami ke arah Malaysia yang lebih inklusif dan lestari.
“Usaha CIMB untuk mengetengahkan keperluan semua lapisan umur dengan menyediakan sokongan menyeluruh khusus adalah dihargai dan sejajar dengan matlamat kerajaan dalam membina masyarakat berdaya saing dan progresif dengan mengurangkan kemiskinan, pengangguran dan keciciran persekolahan,” ujarnya.-UTUSAN