Dasar Gaji Progresif (DGP) merupakan satu Anjakan Besar dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) ke arah meningkatkan gaji dan mencapai pengagihan pendapatan yang lebih seimbang.
Berdasarkan Ucapan Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober 2024, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi menyokong pelaksanaan penuh DGP pada tahun 2025 yang akan memanfaatkan seramai 50,000 pekerja.
Permohonan Dasar Gaji Progresif bermula 2 Januari 2025.
Majikan yang berminat untuk menyertai DGP boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui www.gajiprogresif.gov.my.
Ciri-ciri asas DGP adalah seperti berikut:
i. Bersifat sukarela
Syarikat yang berminat untuk menyertai DGP boleh mendaftar secara sukarela melalui sistem permohonan secara dalam talian.
ii. Berteraskan insentif
Syarikat yang berdaftar serta memenuhi syarat DGP bakal menerima insentif yang jumlahnya akan ditentukan oleh Kerajaan berdasarkan kedudukan fiskal negara.
iii. Terkait dengan produktiviti
Kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan produktiviti pekerja.
Syarat penyertaan DGP
Majikan yang telah menyertai projek rintis DGP secara automatik layak menyertai pelaksanaan penuh DGP.
Syarikat tempatan yang ingin mendaftar sebagai ‘Majikan Gaji Progresif’ perlu memenuhi syarat seperti berikut:
i. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan;
ii. Berdaftar dengan PERKESO dan KWSP;
iii. Tidak termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Multinasional (MNC);
iv. Terbuka kepada pekerja warganegara Malaysia sahaja;
v. Terbuka kepada pekerja yang bekerja sepenuh masa di bawah suatu kontrak perkhidmatan (contract of service);
vi. Terbuka kepada pekerja yang menerima gaji pokok antara kadar gaji minimum semasa hingga RM4,999 sebulan; dan
vii. Terbuka kepada semua sektor kecuali:
a. Pentadbiran awam dan pertahanan; Aktiviti keselamatan sosial wajib;
b. Aktiviti isi rumah sebagai majikan; Aktiviti mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang tidak dapat dibezakan oleh isi rumah untuk kegunaan sendiri; dan
c. Aktiviti badan dan pertubuhan luar wilayah.
Insentif DGP
Insentif bagi pekerja diambil kira bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2025 (sehingga Disember 2027).
Insentif berbentuk tunai adalah mengikut kadar dan kumpulan pekerja iaitu:
• Pekerja peringkat permulaan (entry level) maksimum RM200 sebulan.
• Pekerja bukan peringkat permulaan (non-entry level) maksimum RM300 sebulan.
Majikan perlu melaporkan maklumat gaji pekerja yang terlibat melalui sistem dalam talian.
Majikan perlu mengemukakan surat pengesahan kenaikan gaji DGP kepada pekerja sebagai rujukan.
Latihan akan menjadi pra-syarat untuk pembayaran insentif dan pemberian insentif adalah tertakluk kepada konsep first come, first served. – UTUSAN