42 inisiatif game changer KKDW bakal dilaksana
BALIK PULAU: Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Hotel Bahang Bay, Pulau Pinang baru-baru ini telah menggariskan agenda besar untuk memperkasakan masyarakat luar bandar.
Permukiman ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dengan objektif utama membentangkan rumusan pencapaian 62 program kementerian pada tahun 2024 serta menetapkan 42 ‘game changer’ bagi tahun 2025.
Ahmad Zahid berkata, permukiman ini telah mengenal pasti empat fokus utama, iaitu modal insan, usahawan, ekonomi, dan reformasi birokrasi.
“Sebanyak 42 game changer telah dirumuskan sebagai pemacu perubahan strategik KKDW.
“Keutamaan kita adalah membangunkan modal insan yang berkualiti, memperkasakan usahawan desa, serta memastikan reformasi birokrasi terus menyokong ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya selepas merasmikan penutup permukiman KKDW 2025 di sini, baru-baru ini.
Permukiman KKDW 2025 melibatkan 140 peserta, termasuk pengurusan tertinggi dan pegawai kanan KKDW, jabatan serta agensi di bawahnya.
Turut serta adalah beberapa agensi di bawah portfolio Timbalan Perdana Menteri seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis TVET Negara (MTVET), dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Dalam pada itu, menurut Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, 42 ‘game changer’ itu mencerminkan usaha KKDW untuk membawa transformasi besar dalam pembangunan luar bandar melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan inovatif.
Katanya, pelaksanaan strategi baharu ini adalah bukti kejayaan matlamat kerajaan untuk merapatkan jurang fungsi antara agensi dan jabatan melalui pendekatan kluster.
“Dengan membahagikan pasukan kepada empat kluster iaitu modal insan, usahawan, ekonomi, dan reformasi birokrasi percambahan idea berlaku secara bebas, sekali gus mengatasi sindrom bekerja secara silo dalam organisasi,” katanya sewaktu membentangkan rumusan pemukiman tersebut.
Muhd Khair Razman berkata, antara pencapaian penting yang diketengahkan ialah reformasi terhadap dasar sedia ada, seperti penjenamaan semula Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
“Penilaian semula ini dilaksanakan bagi memastikan program yang disasarkan benar-benar memberi impak kepada kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata, KKDW mengambil langkah inovatif dengan memperkenalkan pendekatan pengisytiharan kendiri (self-declaration) bagi menilai keberkesanan bantuan yang diberikan, seperti peralatan untuk meningkatkan pendapatan.
“Langkah ini diambil bagi mengatasi kekangan tenaga kerja untuk memantau penerima secara langsung.
“Pendekatan self-declaration ini membolehkan kami memantau progres penerima dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas bantuan disalurkan.
“Ini adalah kaedah praktikal untuk memastikan mereka benar-benar memanfaatkan peralatan yang diberi,” katanya.
Selain itu, katanya, KKDW turut mengetengahkan konsep digital nomad sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi di kawasan luar bandar.
“Inisiatif ini dilihat berpotensi besar dalam menarik golongan profesional bekerja dari kawasan pedalaman yang mempunyai kemudahan infrastruktur dan Internet yang lengkap.
“Bagi mencapai matlamat ini, KKDW tidak hanya melihat kepada pembangunan dalaman tetapi juga menerapkan pemikiran global.
“Contohnya, kita boleh bekerjasama dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang telah mempelopori program digital nomad di kawasan luar bandar mereka,” katanya.
Dalam konteks ini, beliau berkata, KKDW turut menekankan kepentingan pembinaan infrastruktur luar bandar yang lengkap, termasuk jaringan jalan raya dan kemudahan internet, bagi memastikan matlamat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2026 tercapai.
Katanya, satu lagi pencapaian penting ialah pembangunan ‘dashboard’ data bersepadu yang menjadi rujukan utama dalam menilai keberkesanan program-program KKDW.
Dengan kerjasama pelbagai pihak, profil kampung termasuk data migrasi penduduk dan keperluan asas telah dimasukkan ke dalam sistem ini untuk memudahkan perancangan dan pelaksanaan program.
“Maklumat yang tepat dan terkini adalah kunci kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif.
“Dengan adanya ‘dashboard’ ini, kita dapat mengenal pasti jurang dan menyesuaikan pendekatan agar benar-benar memenuhi keperluan komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sesi permukiman ini.
“Kerjasama yang kukuh antara agensi, jabatan, dan pihak berkepentingan dilihat sebagai faktor utama kejayaan 42 game changer yang dikenal pasti.
“Perjalanan masih panjang, tetapi dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan, saya yakin KKDW mampu merealisasikan visi untuk memajukan komuniti luar bandar secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN