IPOH: Kerajaan negeri Perak terus memacu usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai komponen utama dalam agenda pembangunan negeri, di samping membudayakan teknologi dan inovasi menjelang 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, TVET bukan sekadar mencipta pekerja mahir; sebaliknya ia adalah wahana untuk melahirkan inovator, pemimpin, dan usahawan yang menjadi pemacu perubahan teknologi dan ekonomi.
“Atas kepercayaan itulah, Kerajaan Negeri Perak bertekad menjadikan negeri ini sebagai Koridor TVET Negara.
“Dengan ekosistem pendidikan teknikal yang menyeluruh, Perak sedang melangkah ke hadapan untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan TVET, bukan hanya untuk keperluan tempatan, tetapi juga sebagai rujukan nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baru 2025 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di Hotel Casuarina@Meru, di sini semalam.
Saarani berkata, beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan seperti Automotive High-Tech Valley (AHTV), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), dan Silver Valley Technology Park (SVTP) menjadi platform penting untuk graduan TVET negeri Perak mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka.
Bagi menyokong agenda itu, kerajaan negeri akan melaksanakan Program Jelajah TVET 2025, bertujuan memberi kesedaran kepada generasi muda bahawa TVET bukanlah pilihan kelas kedua, tetapi laluan utama untuk masa depan yang cerah.
“Kita mahu membuang stigma TVET tidak setanding dengan aliran akademik. Sebaliknya, ia adalah jambatan yang menghubungkan tenaga kerja mahir dengan kemajuan teknologi,” kata Saarani.
Selain TVET, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada usaha membudayakan teknologi dan inovasi dalam pelbagai sektor.
Kata beliau, Transformasi Digital Negeri Perak telah mempercepatkan akses teknologi kepada rakyat, dengan liputan internet mudah alih kini mencapai 99.6% dan lebih 700,000 premis dilengkapi gentian optik.
“Teknologi bukan sekadar alat tetapi pemacu perubahan. Kita mahu teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.
“Perak harus dikenali sebagai negeri yang bukan sahaja indah, tetapi juga maju dari segi inovasi dan kecanggihan teknologinya,” katanya.
Selain itu, kerajaan negeri menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan selain turut menggalakkan usahawan tempatan memanfaatkan peluang ekonomi digital. – UTUSAN