IPOH: Kerajaan negeri Perak meneruskan momentum pertumbuhan apabila sekali lagi menutup Akaun Hasil Disatukan bagi tahun 2024 dengan lebihan pendapatan atau surplus berjumlah RM45.62 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian itu adalah untuk tahun ketiga berturut-turut sejak 2022 mencerminkan keberkesanan pengurusan kewangan negeri dan momentum kebangkitan ekonomi pasca pandemik.
“Perak turut mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan sepanjang tahun lalu dengan kutipan hasil negeri dicatatkan adalah sebanyak RM1.332 bilion, peningkatan sebanyak RM118 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, angka ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah.
“Tidak cukup dengan itu, berkat pengurusan kewangan yang berhemah, Perak menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2023, sekali gus menjadikan Perak antara lima negeri terbaik dalam tadbir urus kewangan,” katanya.
Beliau mengumumkan pencapaian itu ketika berucap pada Majlis Executive Talk Dan Perutusan Tahun Baharu 2025 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di Hotel Casuarina@Meru, di sini semalam, yang turut dihadiri lebih 700 penjawat awam.
Saarani turut menggariskan lima fokus utama untuk tahun 2025 yang bertujuan mempercepatkan kemajuan agenda Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, ia termasuk usaha memperkukuh ekonomi mapan dan berkelanjutan, sistem penyampaian berimpak tinggi, menggilap modal insan menuju Perak Sejahtera 2030, menerapkan teknologi dan inovasi dalam memacu perubahan serta kelestarian dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Beliau turut menekankan kepentingan supaya kerajaan negeri membuat konsultasi dengan pelbagai pihak sebelum membuat sebarang keputusan penting, khususnya berkaitan cadangan memperkenalkan cukai baharu.
“Walaupun kita berniat baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kita sentiasa diasak dengan segala macam kritikan.
“Tiada rakyat yang suka dengan kenaikan cukai, namun keputusan ini boleh diterima jika kerajaan berjaya merapatkan jurang persepsi antara kerajaan dan masyarakat. Rakyat sebagai pembayar cukai mahu perkhidmatan kerajaan setimpal dengan setiap ringgit dan sen yang dikutip,’’ ujarnya. – UTUSAN