MINDEF rangka strategi perkukuh pertahanan negara

MINDEF rangka strategi perkukuh pertahanan negara

MOHAMED Khaled Nordin (dua kiri) bersama pucuk pimpinan dan pengurusan Kementerian Pertahanan ketika lafaz ikrar Rukun Negara dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengatur strategi ampuh bagi memastikan setiap  aspek berkaitan pertahanan negara terus diperkasa terutama bagi tahun 2025.

Justeru Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa agar seluruh barisan kepimpinan dan warga kementerian itu bekerja dengan lebih gigih demi mencapai kecemerlangan.

MOHAMED Khaled Nordin ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

Dalam Perutusan Tahun Baharu yang disampaikan semalam, Mohamed Khaled berharap setiap warga kementerian itu perlu memberi tumpuan kepada 10 fokus yang digariskan bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

Antara fokus yang perlu diberi perhatian warga kementerian ialah: 

Fokus Pertama: Mencari dan Menarik Bakat Terbaik.

Kementerian akan menyemak semula kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) daripada segi pencapaian dan keberkesanan matlamat penubuhannya.

Menurut Mohamed Khaled, faktor seperti keciciran dalam kalangan kadet, isu disiplin, kelestarian kos, perbelanjaan dan keanjalan dalam menetapkan bidang yang diperlukan, pelu diperhalusi secara serius.

“Di samping itu, kita juga akan memikirkan pembiayaan khas bagi menaja pengajian pelajar-pelajar dalam bidang kritikal yang diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mempertimbang pendekatan menebus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi graduan terpilih dalam kalangan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang berjaya diterima masuk ke dalam ATM,” katanya.

Fokus Kedua: Mengukuh Keistimewaan dan Kelebihan Perkhidmatan ATM.

Keistimewaan dan kelebihan perkhidmatan ATM juga akan diberi perhatian termasuk  memberi kelayakan diploma kepada anggota dalam fokus kedua Kementerian Pertahanan.

Ini dapat dilihat menerusi Program Work Based Learning (WBL) yang diperkenalkan pada tahun lalu bagi memastikan bakal pesara ATM memiliki pengalaman kerja diberikan kelayakan dan pengiktirafan untuk kerjaya kedua dan mendapat pekerjaan yang lebih baik. 

Setakat ini tiga institusi terlibat iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menawarkan 10 program diploma.

Antara 10 program tersebut ialah Diploma Seni Kulinari; Diploma Pengurusan Hotel; Diploma Pendidikan Islam dan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat.

Beberapa program lain turut diperkasa seperti Program Protégé Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT).

Mohamed Khaled berkata bahawa kerajaan memberi jaminan setiap veteran yang terlibat dalam program PRO WIRA ini akan menerima pendapatan minimum yang tidak kurang daripada RM2,000 sebulan selama setahun.

Fokus Ketiga: Memperoleh dan Menambah Aset Serta Keupayaan Teknologi Yang Menjawab Keperluan dan Cabaran Semasa.

Menurut  Mohamed Khaled, sebanyak RM12 bilion diperuntukkan kepada ATM bagi tujuan perolehan aset dan kelengkapan untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan negara pada tahun ini. 

Pihak kementerian juga katanya, akan  memastikan perkembangan dan kemajuan pembinaan aset-aset penting lain mencapai kemajuan yang dijadualkan. 

“Ini termasuklah proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disasarkan mencapai kemajuan sebanyak 96.52 peratus siap. Untuk LCS2, LCS3, LCS4 dan LCS5, masing-masing dijangka mencapai 86.61 peratus, 76.60 peratus 65.05 peratus serta 48.72 peratus kemajuan.

“LCS2 juga telah diturunkan ke air dan sedang menjalani Setting To Work (STW),” katanya.

Menurutnya, bagi pembinaan kapal misi pesisir (LMS) batch kedua pula, kemajuan  kerja bagi ketiga-tiga kapal tersebut dijangka mencapai 13.8 peratus secara keseluruhannya pada Jun 2025.

“LMSB2-1, LMSB2-2 dan LMSB2-3 masing-masing disasarkan mencapai 17.1 peratus 13.9 peratus dan 10.4 peratus kemajuan,”ujarnya.

Fokus Keempat: Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan.

Empat perkara akan diberi perhatian di bawah fokus keempat ini antaranya Faedah Hilang Upaya , Simpanan Pendidikan MADANI, Pengenalan e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pemberian Chromebook percuma kepada semua pelajar tingkatan 5 yang terlibat dalam program tuisyen e-Perkasa SPM.

Mohamed Khaled berkata, kementerian turut komited untuk menjadikan kem-kem penempatan keluarga Angkatan Tentera di seluruh negara sebagai lingkungan kehidupan terbaik untuk semua penghuni.

“Kerajaan telah bersetuju meluluskan RM10 juta bagi pelaksanaan Program Kem MADANI di seluruh negara bagi tahun 2025. 

“Antara perubahan yang disasarkan termasuk menjadikan kehidupan di dalam kem-kem tentera sebagai ruang menjana pendapatan tambahan kepada para penghuni dan peluang serta pembiayaan mengikuti kursus mahupun bimbingan perniagaan di kolej komuniti kepada ahli-ahli Badan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan warga kem,” ujarnya. 

Fokus Kelima: Membangunkan Industri Pertahanan Tempatan Yang Kompetitif dan Berdaya Saing.

Untuk tahun 2025, sasaran utama kementerian adalah menyiapkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan melancarkannya semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

“Memandangkan industri pertahanan mesti difahami dan diterima baik oleh masyarakat dan pemain industri, dasar yang berkaitan dengannya mesti dibangunkan secara komprehensif dan terbuka.”

“Untuk itu, kementerian memutuskan untuk membuka ruang libat urus awam atau public consultation,” ujarnya.

Fokus Keenam: Merancakkan Kajian, Penyelidikan dan Pengkomersialan Inovasi Pertahanan Melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Tegasnya, STRIDE mesti menjalankan kajian, penyelidikan dan pengkomersialan (R&D and Commercialisation) inovasi pertahanan dengan lebih gigih dan proaktif. Khususnya melalui kerjasama dengan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan industri.

Salah satu langkah yang diambil adalah dengan mengaktifkan Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP) di bawah STRIDE.

Menurutnya, objektif penubuhan MPSTP ini antara lain adalah bagi menentukan dasar, hala tuju dan perancangan sains dan teknologi pertahanan di peringkat nasional dan memastikan kejayaan pelbagai pelan kajian dan penyelidikan yang kita lakukan.

Fokus Ketujuh: Memperkemas dan Melebar Diplomasi Pertahanan.

Menurut Mohamed Khaled, Kementerian akan memfokuskan kepada usaha memperkukuh hubungan dengan negara-negara yang berupaya membantu memberi nilai tambah kritikal kepada aspek pertahanan Malaysia.

“Antara Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang dan kerjasama pertahanan yang perlu kita muktamadkan untuk ditandatangani pada tahun ini termasuklah bersama dengan Amerika Syarikat, Mesir, UAE, Qatar, Arab Saudi serta MoU kerjasama dalam bidang Sains, Teknologi dan pertahanan nasional bersama Korea Selatan,” jelasnya. 

Fokus Kelapan: Mewujudkan Masyarakat Yang Patriotik Dan Menghargai Keamanan dan Kedaulatan.

Usaha ini boleh dilihat menerusi pelancaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 baru-baru ini. 

Menurut Mohamed Khaled, Kementerian Pertahanan dan  ATM telah menyumbang secara bermakna dengan membenarkan 13 Kem Wataniah di seluruh negara digunakan bagi tujuan pelaksanaan PLKN 3.0. 

“Ini sebetulnya adalah satu sumbangan Kementerian Pertahanan dan ATM kepada proses pembinaan bangsa,” jelasnya. 

Selain itu, kementerian juga perlu menjayakan kerjasama awam dan tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC).

Jelasnya, ia merupakan salah satu bentuk sentuhan dan sumbangan kementerian kepada masyarakat. 

Fokus Kesembilan: Menyatakan Pandangan Dari Perspektif Pertahanan Agar Negara Berupaya Membuat Pendirian Kritikal Khususnya Dalam Mencermati Pelbagai Cabaran Serantau Dan Antarabangsa.

Menurut Mohamed Khaled, Kementerian Pertahanan tidak boleh sekadar menjadi pemerhati pegun dalam segala perkara yang memberi kesan kepada kedaulatan negara.

Apatah lagi dengan  zaman dan kedinamikan geopolitik hari ini sudah sangat berubah dan mencabar. 

“Setiap keputusan serta ketetapan Kerajaan mesti mengambil kira pelbagai faktor khususnya dimensi pertahanan dan kedaulatan negara.

“Kesemua ini merentas dan melangkau aspek kesiagaan ketumbukan pasukan pertahanan sama ada dari aspek aset, sumber manusia mahupun teknologi,” jelasnya.

Fokus Kesepuluh: Merundingkan RMK-13 Secara Strategik Bagi Memenuhi Keperluan Pertahanan Negara.

Jelas Mohamed Khaled, rundingan dalam RMK-13 mesti serius, bersifat jangka panjang, dan merangkumi elemen-elemen besar dan kritikal pertahanan.

“Ia mesti menjawab empat perkara yang berkaitan aset, cabaran serantau, keperluan dan mengenai angkatan siber,” jelasnya. – UTUSAN

MOHAMED Khaled Nordin (dua kiri) melancarkan Portal Libat Urus Awam DIPN pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira ATM Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN