Memimpin Bersama MiSHA manifestasi komitmen keselamatan, kesihatan pekerjaan

Memimpin Bersama MiSHA manifestasi komitmen keselamatan, kesihatan pekerjaan

MOHD. EKHSAN NOOR KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelancaran lagu Memimpin Bersama MiSHA melambangkan dedikasi Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) terhadap usaha mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di negara ini. 

Lagu rasmi itu adalah hasil ciptaan gabungan komposer tempatan, MiSHA dan kombo okestra universiti yang menggunakan sentuhan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengangkat visi serta misi persatuan itu untuk menjadi ikon dalam bidang OSH di Malaysia.  

Ketua Komunikasi Korporat MiSHA, Mohd. Ekhsan Noor Kamal berkata, pelancaran Memimpin Bersama MiSHA bertujuan menyemarakkan semangat dalam kalangan ahli dan masyarakat industri terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. 

“MiSHA bukan sekadar sebuah organisasi tetapi menjadi kuasa penggerak dalam transformasi budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

“Lagu ini mencerminkan aspirasi kami untuk memastikan semua pekerja dilindungi dalam persekitaran kerja yang selamat dan sihat,”  katanya baru-baru ini.

Mohd. Ekhsan berkata, lagu rasmi MiSHA itu sarat dengan mesej inspirasi dan mengetengahkan semangat persatuan berkenaan dalam memacu kecemerlangan OSH. 

“Dengan susunan muzik orkestra yang megah, lagu ini menanamkan rasa bangga dan komitmen kepada ahli serta masyarakat umum. MiSHA berhasrat untuk terus menjadi rujukan utama dalam bidang OSH serta melangkaui sempadan nasional. 

“Kami menyeru semua pihak termasuk majikan dan pekerja untuk bersama-sama menyokong misi ini. Ia akan dimainkan dalam pelbagai acara OSH di seluruh negara sebagai simbol solidariti dan dedikasi kepada keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Lagu ini julung kalinya akan dimainkan secara langsung pada malam Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prin­sip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) 2024 yang dijadual dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Kuala Lumpur pada 17 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN