LBS Bina Group terbit tranche kedua Sukuk Wakalah Sri Sosial ASEAN

LBS Bina Group terbit tranche kedua Sukuk Wakalah Sri Sosial ASEAN

Projek Melodi Perdana di Puncak Alam yang dibangunkan oleh LBS Bina Group.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan”), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, sukacita mengumumkan kejayaan penerbitan SRI Sukuk Wakalah Sosial ASEAN tranche yang kedua berjumlah RM400.0 juta dalam nilai nominal (‘Tranche Kedua’) di bawah program Sukuk Wakalah sedia ada LBS yang bernilai RM750.0 juta, yang turut diberi penarafan AA-IS dengan tinjauan stabil oleh MARC Ratings Berhad.

Penyempurnaan tranche kedua ini terus mencerminkan penerimaan positif pasaran modal terhadap komitmen LBS dalam memastikan pertumbuhan dan pembangunan yang lestari.

Projek Idaman Melur yang dibangunkan oleh LBS Bina Group di Cybersouth dekat Dengkil.

Tranche kedua tanpa jaminan ini telah diterbitkan dengan kadar pengagihan berkala sebanyak 4.81% setahun dan tempoh matang selama tujuh tahun, iaitu pada 23 Januari 2032.

Terbitan ini menerima sambutan menggalakkan daripada pelabur, dengan kadar lebihan langganan sebanyak 5.27 kali ganda, menghasilkan jumlah buku pesanan akhir sekitar RM2.1 bilion.

Permintaan yang tinggi, terutamanya daripada pelabur institusi, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap rekod prestasi LBS, hala tuju strategik, dan amalan tadbir urus yang mantap.

Hasil daripada terbitan ini akan diperuntukkan mengikut Rangka Kerja Pembiayaan Kemampanan Kumpulan, bagi menyalurkan dana ke arah projek yang memberi tumpuan kepada rumah mampu milik, pembangunan komuniti, dan kelestarian. Inisiatif ini selaras dengan misi LBS untuk memacu impak positif kepada masyarakat dan mencipta nilai yang berkekalan untuk pihak berkepentingan.

Lim Hock San

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, penerbitan tranche kedua ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha LBS untuk mengintegrasikan elemen kemampanan ke dalam operasi perniagaan.

“Hasil daripada penerbitan ini akan membolehkan kami memperkukuh portfolio projek perumahan mampu milik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memupuk impak sosial yang positif. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mengimbangi pertumbuhan perniagaan yang mampan dengan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, penerbitan itu mengukuhkan lagi dedikasi LBS dalam memenuhi keperluan masyarakat, selaras dengan perubahan dan perkembangan semasa.

Penerbitan sukuk itu diuruskan oleh HSBC Amanah Malaysia Berhad, Maybank Investment Bank Berhad, dan RHB Investment Bank Berhad, yang bertindak sebagai pengurus utama bersama untuk Tranche Kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN