KUALA NERUS: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas menumbangkan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, malam ini.
Kemenangan kedua ke atas TFC dalam tempoh kurang 10 hari itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio menerajui Liga Super dengan mengumpul 52 mata daripada 18 perlawanan untuk memburu kejuaraan buat kali ke-11.
Berbaki enam perlawanan untuk diharungi, skuad Harimau Selatan kini 13 mata di depan Selangor yang menghuni tangga kedua liga dengan mengumpul 39 mata.
JDT yang masih segar dengan kemenangan besar 4-0 ke atas TFC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, 17 Januari lalu memperoleh jaringan tunggal perlawanan menerusi Juan Muniz pada minit ke-12.
Larian Muniz dapat melepasi ‘garis’ pertahanan TFC sebelum melepaskan tendangan leret kaki kiri yang gagal ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Rahadiazli Rahalim.
Walaupun JDT menguasai lebih 60 peratus permainan dengan tujuh percubaan ke pintu gol lawan, anak buah Badrul Afzan Razali turut mencipta serangan-serangan balas namun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.
Pasukan tuan rumah hampir memperoleh jaringan penyamaan pada hujung babak kedua namun rembatan Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-80 sekadar menggegarkan palang gol JDT.
Kemenangan tipis itu sudah cukup untuk JDT meraih tiga mata berharga sekali gus melebarkan jurang mata di puncak Liga Super. – UTUSAN