KUALA TERENGGANU: Johor Darul Ta’zim (JDT) berada di landasan terbaik untuk mempertahan kejuaraan Piala Malaysia selepas menundukkan Terengganu FC (TFC) 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini.
Dua jaringan menerusi Arif Aiman Hanapi dan masing-masing satu oleh Romel Morales dan Bergson da Silva di gelanggang lawan memberi kelebihan cukup besar kepada penyandang juara itu untuk melayan kunjungan TFC dalam perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), 1 Februari ini.
Keputusan itu juga ibarat laluan berduri untuk pasukan TFC yang perlu memburu jaringan besar pada 90 minit lagi perlawanan separuh akhir kedua di gelanggang keramat Harimau Selatan.
Morales membuka tirai jaringan JDT selepas menyambar peluang terhidang pada minit ke-17 hasil keadaan kelam kabut di pintu gawang TFC, berpunca daripada sepakan penjuru pertama perlawanan.
Morales hampir menambah jaringan kedua JDT dan peribadinya 19 minit kemudian namun tidak dikira berikutan terdapat kekasaran ke atas pemain TFC selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Pasukan pelawat kemudian melancarkan beberapa serangan untuk melebarkan jaringan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.
Selepas 10 minit babak kedua perlawanan bersambung, semakan VAR sekali lagi menafikan peluang JDT untuk menggandakan jaringan selepas pengadil membatalkan keputusan sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan kendalian Hector Bidoglio.
Sepakan penalti itu pada awalnya diberikan kepada JDT selepas Alif Zakaria dilihat menjatuhkan Arif Aiman di dalam kotak penalti Terengganu.
Walaupun JDT memiliki penguasaan bola, TFC turut mencipta beberapa serangan termasuk peluang keemasan pada minit ke-61 menerusi percubaan Manuel Ott yang melepasi palang gol Harimau Selatan.
Arif Aiman bagaimanapun membuktikan statusnya sebagai penyerang berbisa negara dengan menyumbat dua gol masing-masing pada minit ke-79 dan ke-85 sebelum da Silva menambah derita Sang Penyu pada hujung perlawanan untuk memberi peluang selesa kepada JDT melangkah ke aksi final. – UTUSAN