Termasuk Anugerah Platinum kategori Minuman-Tenusu empat tahun berturut-turut.
PETALING JAYA: Farm Fresh Berhad sekali lagi dinobatkan sebagai jenama tenusu No. 1 di Malaysia, dengan memenangi Anugerah Platinum keempat berturut-turut dalam kategori Minuman-Tenusu di Malam Gala Putra Brand Awards 2024 yang berprestij sejak kemenangan pertama mereka pada tahun 2021.
Farm Fresh turut menerima anugerah Putra Brand Marketer of the Year, atas usaha tanpa henti memperjuangkan inovasi dan kreativiti dalam membina jenama mereka, serta gelaran Putra Brand Icon atas pencapaian meraih Anugerah Platinum untuk empat tahun berturut-turut.
Ditubuhkan pada tahun 2009, Farm Fresh telah berkembang menjadi salah satu jenama tempatan paling ikonik di Malaysia.
Perjalanan mereka bermula dengan penuh sederhana 15 tahun lalu apabila 60 ekor lembu baka Holstein Jersey diimport dari Australia dan ladang pertama mereka dibuka di Mawai, Johor.
Berpandukan misi yang berani untuk menyediakan produk tenusu tulen kepada rakyat Malaysia tanpa bahan pengawet dan aditif tiruan, Farm Fresh pantas membezakan dirinya daripada pesaing melalui komitmen terhadap kualiti dan kesegaran. Komitmen ini menjadi asas kejayaan mereka, didorong oleh sokongan pelanggan yang luar biasa serta sokongan strategik daripada Khazanah Nasional Berhad.
Kini, Farm Fresh mengendalikan ladang tenusu yang luas meliputi lebih daripada 5,000 ekar tanah di Malaysia dan Australia, dengan jumlah melebihi 11,000 ekor lembu tenusu dan lembu jantan.
Setakat ini, syarikat ini telah memperkenalkan lebih daripada 200 produk di bawah pelbagai jenama, termasuk Farm Fresh, Master Barista, Henry Jones, Yarra Farm, Yarra by Farm Fresh, Nubian Goat’s Milk, Jom Cha by Farm Fresh, St David Dairy (Australia), dan pengambilalihan terkini mereka, Inside Scoop dan Sin Wah Ice Cream.
Portfolio produk Farm Fresh meliputi pelbagai kategori, termasuk produk sedia diminum (RTD) dalam keadaan sejuk dan suhu bilik, yogurt, alternatif berasaskan tumbuhan, dan ais krim. Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah membolehkan syarikat ini melancarkan produk inovatif seperti susu berperisa kurma, susu bebas laktosa, susu badam, dan Farm Fresh Grow, susu rumusan khas untuk kanak-kanak.
Baru-baru ini, Farm Fresh telah memperluaskan penawarannya dengan varian Susu Tepung Farm Fresh Grow, susu organik Australia, ais krim, minuman malt coklat, dan produk baharu yang akan dilancarkan seperti susu kultur dan mentega.
Sebagai pengeluar tenusu bersepadu terbesar di Malaysia, Farm Fresh kini sedang mengembangkan perniagaan mereka di rantau Asia Pasifik. Syarikat ini kini mengeksport ke Singapura, Brunei, dan Filipina, selain memenuhi pasaran Timur Tengah melalui kilangnya di Victoria, Australia. Selain itu, Farm Fresh telah memulakan operasi di kilang baharunya di Filipina, menghasilkan susu dipasteur untuk wilayah Metro Manila.
Farm Fresh juga komited terhadap amalan kelestarian alam sekitar. Ladang-ladang mereka di Malaysia adalah yang pertama di Asia menerima pengiktirafan Certified Humane Raised and Handled, yang memastikan produk tenusu mereka dihasilkan dari ladang yang mematuhi piawaian ketat untuk penjagaan haiwan secara berperikemanusiaan.
Selain menghasilkan produk berkualiti tinggi, Farm Fresh aktif menyumbang kepada komuniti melalui inisiatif seperti Program Susu Sekolah, yang telah mengedarkan lebih daripada 65 juta pek susu kepada kira-kira 3,400 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sejak tahun 2011.
Program ini disokong oleh rangkaian pengedar rumah mereka yang melibatkan lebih daripada 2,000 usahawan mikro, mencerminkan dedikasi Farm Fresh dalam menyuburkan generasi masa depan.
Sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Farm Fresh juga telah menubuhkan pusat komuniti di bawah Program Pembangunan Modal Insan Multidimensi yang bertujuan meningkatkan pendidikan, pemakanan, dan taraf hidup masyarakat kurang bernasib baik.
Mengulas tentang pencapaian mereka, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata bahawa
“Ini adalah malam yang sangat luar biasa dan menggembirakan buat kami kerana kami tidak menyangka akan memenangi tiga anugerah hebat ini.
“Kami sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong kami dan menjadikan Farm Fresh seperti yang ada hari ini, sebagai jenama kegemaran mereka. Terima kasih kepada anda semua, rakyat Malaysia,” katanya.
Anugerah Jenama Putra, yang dianjurkan oleh the Association of Accredited Advertising Agents Malaysia (4As) sejak 2010, dengan sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta disokong oleh Persatuan Pengiklan Malaysia, Persatuan Pakar Media, dan Persatuan Digital Malaysia.
Tahun ini, anugerah tersebut menerima sebanyak 50,212 maklum balas secara sukarela, menjadikannya Anugerah Pilihan Rakyat yang sejati. Pengiktirafanini bukan sahaja mencerminkan kualiti jenama,tetapi juga menonjolkan tempat istimewanya di hati rakyat Malaysia. – UTUSAN