KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus memperkukuh kedudukan sebagai antara institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di negara ini dengan menawarkan program pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Selain menawarkan program pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, UPTM juga memainkan peranan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dalam pelbagai sektor industri.
Penerima Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, Dr. Mohd Azizi Hamid, berkongsi pengalaman dan hasil penyelidikannya yang memfokuskan penglibatan perusahaan mikro dalam industri halal.
“Kajian saya meneliti dua aspek utama iaitu faktor yang menghalang penyertaan industri mikro dalam pensijilan halal dan elemen yang boleh menarik minat mereka untuk terlibat.
“Namun, banyak perusahaan mikro di Malaysia masih kurang menyedari kepentingan ini, walaupun permintaan terhadap produk halal semakin meningkat, terutamanya di luar negara,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini semalam.
Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) meraikan kecemerlangan seramai 1,357 graduan pada Istiadat Majlis Konvokesyen ke-2 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mohd Azizi turut berharap hasil penyelidikannya dapat membuka jalan supaya lebih ramai usahawan mikro untuk menyertai industri halal.
“Dengan pengiktirafan halal, mereka bukan sahaja dapat memenuhi permintaan tempatan tetapi juga berpeluang memasuki pasaran global.
“Acara seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 menunjukkan potensi besar industri ini,” katanya.