KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), diiktiraf antara syarikat utama pilihan graduan untuk memulakan kerjaya masing-masing, baru-baru ini.
UDA menerima Anugerah Majikan Pilihan Graduan untuk Bekerja 2025 (Graduates Choice of Employers to Work For) daripada Anugerah Pilihan Graduan (GCA), bagi kategori Pengurusan Fasiliti dalam edisi ketujuh, anjuran Talentbank.
Undian yang dijalankan kepada lebih 500,000 pelajar universiti dari seluruh Malaysia menyaksikan UDA berjaya tersenarai pada kedudukan ketiga teratas bagi kategori tersebut.
Zahrin Zakaria, Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Pencapaian kali kedua ini menjadi bukti UDA antara syarikat pilihan graduan khususnya dalam pengurusan fasiliti. UDA sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan semua pekerja di semua rangkaian perniagaan seluruh Malaysia”.
“Antaranya mempraktikkan waktu bekerja yang fleksibel selain menyediakan faedah yang progresif untuk kebaikan pekerja kami. Ini penting dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan pekerja dan pada masa sama menawarkan keseimbangan hidup dan kerja (work life balance),” katanya.
Menurut beliau, kejayaan ini juga selari dengan komitmen dan hasrat UDA untuk terus kekal lestari dan berdaya saing terutamanya dalam pembangunan hartanah serta pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera.
“Pengiktirafan ini meningkatkan keyakinan pemegang taruh serta rakan strategik dan pelanggan kerana kami menjadi pillihan bakat-bakat baharu selain menunjukkan kestabilan dan kesinambungan UDA dalam industri, yang disokong oleh tenaga kerja berprestasi tinggi,” katanya.
Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk maklumat lanjut. – UTUSAN