Tidak patuh syarat operasi, sistem cegah kebakaran gagal berfungsi

Tidak patuh syarat operasi, sistem cegah kebakaran gagal berfungsi

ASAP tebal menyelubungi Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, Johor Oktober lalu ekoran kebakaran empat buah kilang di kawasan itu yang dikatakan berpunca daripada sistem pencegahan kebakaran gagal berfungsi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Punca empat kilang terbakar di Gelang Patah

JOHOR BAHRU: Tidak patuh syarat operasi dan sistem pencegahan kebakaran gagal berfungsi merupakan punca utama kejadian kebakaran melibatkan empat buah kilang di Kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah, dekat sini Oktober lalu.

Lebih malang kegagalan pihak terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa hingga mengorbankan tiga pekerja Bangladesh.

Kemalangan itu sepatutnya membuka mata semua pihak terutama pemilik bangunan termasuk penyewa akan pentingnya aspek keselamatan, khususnya berkaitan pencegahan kebakaran.

Isu tersebut tidak boleh dikompromi dan semua premis yang beroperasi wajib memenuhi dan mempunyai Sijil Perakuan Bomba, termasuk sentiasa sah dan diperbaharui setiap tahun.

Sijil Perakuan Bomba amat penting bagi memastikan semua premis yang beroperasi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti mempunyai sistem pencegahan kebakaran serta sekiranya dilakukan pengubahsuaian, pelan terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Justeru, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ini mengingatkan semua pemilik premis supaya sentiasa memastikan semua aspek keselamatan yang terdapat di premis dipatuhi dan berfungsi dengan baik.

Kegagalan mematuhi syarat berkenaan bukan sahaja akan menyebabkan kemusnahan harta benda, malah berisiko mengakibatkan kematian sekiranya berlaku kebakaran.

Sekiranya gagal mematuhi syarat tersebut dan beroperasi tanpa Sijil Perakuan Bomba, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk didakwa di bawah Seksyen 33, Akta Perkhidmatan Bomba 1988:

“Jika tiada Sijil Perakuan Bomba, maka pemunya premis tersebut melakukan kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” kata jurucakap bomba kepada Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai sebuah syarikat yang menyewa dan beroperasi di dalam beberapa buah kilang di negeri ini yang didakwa beroperasi dengan Sijil Perakuan Bomba yang sudah tamat tempoh, pihak bomba mengesahkan dalam proses pemeriksaan dan penilaian untuk pembaharuan sijil berkenaan bagi dua buah kilang yang sudah tamat tempoh sebelum ini.

“Proses pemeriksaan bagi pembaharuan Sijil Perakuan Bomba ini mengambil sedikit masa. Sebenarnya Sijil Perakuan Bomba bagi ketiga-tiga kilang tersebut tiada masalah, tetapi kita tetap akan lakukan pemeriksaan,” katanya.

“Walaupun Sijil Perakuan Bomba sebuah kilang yang terletak di Senai sudah tamat tempoh sejak November 2022, tetapi kita telah keluarkan Notis FC6 (keperluan-keperluan yang perlu dipatuhi) dan Surat Lampiran H3 (surat mengemukakan pelan atau butir-butir yang relevan). Kita akan lakukan pemeriksaan dan penilaian apabila semua dokumen yang berkaitan diserahkan,” katanya.

Syarikat sama yang menyewa dan beroperasi di sebuah kawasan perindustrian bebas di Iskandar Puteri turut dalam proses pembaharuan Sijil Perakuan Bomba yang sudah tamat tempoh sejak Julai tahun lalu.

“Ya, Sijil Perakuan Bomba terakhir telah tamat pada Julai 2023. Terkini, kilang tersebut baru menerima kelulusan Pelan Arkitek pada

September lalu dan masih menunggu untuk penghantaran pelan mekanikal dan elektrikal (M&E),” katanya.

Sebuah lagi kilang milik syarikat tersebut yang juga terletak di Senai mempunyai Sijil Perakuan Bomba masih sah hingga Februari 2025.

Sementara itu jurucakap syarikat Goldcoin Paragon Sdn. Bhd. (Goldcoin Paragon), pemilik satu daripada dua kilang yang sudah tamat tempoh Sijil itu berkata, ia telah memperoleh pemilikan hartanah Flexhub yang disewa Flex di Johor daripada Mapletree Logistics Trust Management Ltd pada September 2024.

Goldcoin Paragon dalam satu kenyataan berkata, ketika memperoleh harta berkenaan mereka mengandaikan penyewa semasa, iaitu Flex, beroperasi dengan memiliki semua permit dan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Ini kerana penyewa yang akhirnya bertanggungjawab untuk kelulusan ini seperti yang ditetapkan dalam perjanjian penyewaan,” jelas syarikat itu.

Goldcoin Paragon memberitahu, selepas memperoleh harta itu, mereka telah meminta penyewa mengemukakan sijil bomba yang sah dan kelulusan serta permit lain daripada pihak berkuasa yang berkaitan namun masih belum menerimanya.

“Bagaimanapun sebagai sebuah organisasi yang berorientasikan ketelitian dan kemampanan, kami telah melakukan usaha wajar bebas ke atas hartanah yang diduduki itu sejurus selepas pengambilalihan selesai.

“Penemuan awal telah menemukan beberapa kebimbangan berkaitan sistem pemadaman kebakaran dan kerja-kerja pengubahsuaian yang dipercayai tidak mengikut spesifikasi telah dilakukan ke atas bangunan tersebut.

“Namun kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak Flex untuk memastikan operasinya di hartanah Flexhub kami mematuhi semua undang-undang dan peraturan untuk melindungi orang yang bekerja di bangunan kami serta melindungi aset kami yang baru diperoleh,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN