KUALA LUMPUR: Kempen #TabikWiraKita anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) berjaya menarik perhatian pengguna media sosial dengan mencabar kreativiti mereka dalam menunjukkan semangat patriotisme dan menghargai wira negara.
Kempen #TabikWiraKita berjaya menarik penyertaan pengguna dan meraih tontonan di media sosial lebih 6.6 juta orang hasil kolaborasi bersama 29 pempengaruh yang antaranya merupakan pelakon terkenal, Fattah Amin.
Kempen yang diadakan untuk meningkatkan semangat patriotisme itu menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang yang disampaikan sendiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman.
Pemenang tempat pertama, Muhammad Rashide Roziman yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Rendah Polis Depot berkata, penyertaan beliau bersama tiga muridnya adalah untuk mencari dana bagi membina studio penggambaran di sekolah tersebut.
Kata beliau, pihaknya mengambil masa selama dua hari bagi menyiapkan video untuk menyertai kempen #TabikWiraKita iaitu di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Pada asalnya, sekolah kami mengadakan program merdeka secara besar-besaran dengan tema ialah ketenteraan. Apabila terlihat kempen #TabikWiraKita, jadi alang-alang kami sertai sekali. Kami juga pilih murid-murid untuk berlakon sama di dalam video tersebut.
“Kami mahu ucapkan terima kasih kepada seluruh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas segala pengorbanan, masa dan tenaga mereka. Kerjaya tentera merupakan sebuah kerjaya yang bagus serta boleh menjadi aspirasi kepada generasi akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tempat kedua pula dimenangi video yang dihasilkan oleh Nurul Syuhada Omar.
Nurul Syuhada berkata, video penyertaannya bersama keluarga dalam kempen #TabikWiraKita diilhamkan daripada bapa mentuanya yang merupakan bekas anggota ATM dan pernah berkhidmat di Bosnia.
Selain itu, katanya, filem MALBATT: Misi Bakara juga menjadi inspirasi satu keluarganya dalam penghasilan video berkenaan.
“Idea ini terhasil daripada abah di kampung yang selalu bercerita pada kedua-dua anak saya tentang ketenteraan. Saya jadi pengarah manakala anak dan suami menjadi pelakon.
“Video tersebut juga untuk kita beri penghargaan kepada bapa saya, sebab beliau pernah berkhidmat di Bosnia satu ketika dahulu dan kami juga mahu tuju pada semua warga ATM, ia merupakan satu tanda penghargaan kepada pengorbanan mereka untuk negara,” jelasnya.
Pemenang tempat ketiga, Muhammad Aniq Qawiem Mohamad Sazaly berkata, beliau tertarik untuk menyertai kempen #TabikWiraKita selepas melihat video mengenai kempen tersebut di akaun media sosial milik Fattah.
“Dorongan paling besar sekali untuk saya membawa mesej di dalam video itu adalah saya mahu tunjukkan semua orang boleh menghargai tentera kita, tanpa mengira umur, pangkat dan harta. Setiap masyarakat kita mempunyai tanggungjawab untuk menjadi warganegara yang baik.
“Saya ambil masa untuk melakukan penggambaran video itu selama dua hari, saya perlu pergi ke kubur arwah moyang saya yang merupakan seorang tentera dahulu. Jadi dalam video tersebut saya membawa nenek, sepupu dan adik saya untuk membantu,” katanya.
Sementara itu, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin menyifatkan #TabikWiraKita merupakan sebuah kempen yang sangat membantu dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
“Saya sebenarnya tidak sangka kempen itu mendapat sambutan menggalakkan di semua platform media sosial, ramai rupanya rakyat Malaysia yang terpanggil untuk bersama-sama menunjukkan penghargaan kepada wira-wira negara kita. Mereka memerlukan satu medium untuk tunjukkan penghargaan itu iaitu melalui video kreatif.
“Hasilnya kita dapat melihat apabila kita boleh memilih pemenang mingguan dan pemenang utama. Ini semua adalah inisiatif mereka sendiri, kita tidak bantu. Mereka keluar untuk penggambaran serta menyunting sendiri,” jelasnya.
Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berkata, pengalaman bekerja dengan MINDEF sangat mengujakan kerana dapat melihat pelbagai perkara baharu melibatkan ATM.
“Saya dapat lihat bukan senang untuk menjadi seorang anggota tentera, awal pagi sudah kena bangun dan latihannya bukan mudah tetapi sangat-sangat berat dari segi fizikal serta mental. Jadi itu membuatkan saya kagum,” katanya.
Tambahnya, beliau bersedia untuk kekal bekerjasama dengan MINDEF bagi meneruskan kempen #TabikWiraKita pada masa akan datang.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, MINDEF dan ATM yang bersama-sama menjayakan kempen #TabikWiraKita. Insya-Allah, kita lihat kempen ini berjaya daripada apa kita jangkakan.
“Kalau diberi peluang untuk kita teruskan kempen tersebut, kenapa tidak kan? Saya berbesar hati bersama rakan-rakan pempengaruh lain untuk menjalankan kempen ini, bagi saya kempen #TabikWiraKita kena berterusan,” ujarnya. – UTUSAN