KANGAR: Program Jom Menabung bersama Kedai Emas Hajjah Halijah berjaya menarik 1,000 peserta bagi menggalakkan orang ramai menyimpan aset demi masa depan.
Pelaksanaan program tabungan emas tersebut adalah berkonsepkan simpanan mengikut berat yang mana peserta boleh memulakan simpanan emas mereka serendah 0.3 gram dengan pilihan jenis emas 916 atau 999.9.
Ketua Pegawai Eksekutif kedai emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, setiap pembelian emas untuk simpanan berkenaan mempunyai tempoh matang selama 30 hari dan para peserta boleh membuat penebusan di cawangan kami di Sungai Petani, Kedah atau Kangar, Perlis.
“Selain itu, penebusan tersebut juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform rasmi laman web kedai emas Hajjah Halijah,” katanya selepas majlis pelancaran jom menabung bersama kedai emas Hajjah Halijah di sini, semalam.
Tambah Mohd. Shaiful, program yang dilaksanakan itu juga membolehkan peserta menabung emas secara fleksibel tanpa dikenakan kos tambahan untuk upah barang kecuali semasa penebusan tabungan.
Katanya, inisiatif berkenaan telah dimulai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini pelaksanaannya semakin mendapat sambutan yang hanya mengenakan bayaran simpanan paling minimum sebanyak RM100 untuk emas seberat 0.3 gram.
“Oleh itu saya harap pelanggan kedai emas Hajjah Halijah dapat menggunakan kesempatan ini untuk membuat simpanan emas sebagai aset mereka kerana nilai apungannya lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN