BSN Care 50 Hari Memberi sempena 50 tahun BSN

BSN Care 50 Hari Memberi sempena 50 tahun BSN

KAKITANGAN BSN melepaskan ikan lampan dan kelah ke Sungai Batangsi dekat Semenyih yang merupakan salah satu program di bawah BSN Care 50 Hari Memberi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan ulang tahun ke-50, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program  ‘BSN Care 50 Hari Memberi’. Program ini bertujuan melaksanakan 50 program kebajikan sepanjang tahun 2024, yang berfokuskan kepada enam segmen utama: pendidikan, komuniti, kesihatan dan keselamatan, sukan, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta penglibatan perniagaan.

Dengan tema “Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi”, BSN memastikan program ini memberi manfaat berterusan kepada mayarakat, seterusnya meningkatkan kesejahteraan sosial dan  memelihara alam sekitar. Program ini merupakan komitmen BSN untuk menyokong pembangunan mampan negara selaras dengan matlamat jangka panjangnya.

Antara program yang telah dilaksanakan termasuk pemuliharaan alam sekitar seperti BSN Care & Paddle di Pantai Bagan Lalang, Selangor. Dalam inisiatif ini, sebanyak 80 pokok bakau ditanam untuk memelihara ekosistem pantai dan mengurangkan risiko hakisan. Selain itu, BSN turut melaksanakan program konservasi biodiversiti di Denai Langat, Selangor dengan menangkap ikan Pleco, spesies invasif yang mengancam sungai serta melepaskan ikan tempatan seperti baung dan lampam untuk memulihkan keseimbangan ekosistem.

Selain itu usaha pemuliharaan hidupan liar menjadi fokus utama dalam program seperti BSN Care Turtle Heroes di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Melaka. Aktiviti termasuk pembersihan kawasan konservasi, penyediaan pasir penetasan telur penyu dan sumbangan keperluan untuk anak penyu.

Komitmen BSN terhadap pemuliharaan hidupan liar turut dizahirkan melalui penglibatan di Zoo Melaka, di mana warga kerja BSN bersama-sama membersihkan zoo, melukis mural dan menyumbang kelengkapan seperti makanan haiwan, hos air dan bangku.

 

 

Di Kenyir Elephant Conservation Village, Terengganu, BSN menaja seekor anak gajah bernama Gawi sebagai simbol komitmen mereka terhadap pemuliharaan gajah.

Program ini juga menyentuh aspek komuniti dengan melibatkan masyarakat setempat. Sebagai contoh, melalui BSN Care Explore Nature di Sungai Batangsi, Selangor, BSN menjalankan aktiviti menanam pokok limau dan lemon, melepaskan ikan tempatan seperti kelah dan lampam serta menuai hasil tanaman untuk disumbangkan kepada komuniti setempat.

Selain itu, BSN juga mendekati komuniti gelandangan di Pusat Transit Jalan C.Y. Choy, Pulau Pinang melalui program penyediaan sarapan percuma, aktiviti gotong-royong dan perkhidmatan gunting rambut percuma.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran awam,. BSN melaksanakan program Protecting Against Scams and Cyberbullying di Sekolah Kebangsaan Kantan Permai, Kajang, Selangor.
Program ini memberi tumpuan kepada pelajar Tahun Enam dengan mendidik mereka tentang keselamatan siber, risiko buli dalam talian, dan penipuan internet.

Selain itu, BSN turut menjalankan program terapi berkuda untuk kanak-kanak istimewa melalui BSN Care Bridging Disabilities yang melibatkan kanak-kanak autisme, cerebral palsy dan sindrom Down.

BSN juga menunjukkan komitmen dalam memperkasakan komuniti Orang Asli melalui program Empowering Tomorrow di Sekolah Kebangsaan Sungai Mas, Pahang. Program ini melibatkan penambahbaikan perpustakaan, klinik ragbi dan aktiviti literasi kewangan melalui aktiviti treasure hunt dan mewarna.

Aspek keselamatan jalan juga tidak dilupakan dengan pelaksanaan BSN Care Jalan-Jalan Selamat Hari Malaysia di mana kit kecemasan kereta, yang mengandungi kon lipat, kabel jumper, tali penunda, dan alat pemadam api mini diagihkan kepada pengguna jalan raya.

BSN juga memodenkan transaksi jual beli di Pasar Malam Kampung La, Hulu Besut, Terengganu melalui program BSN Care Kampung Angkat MADANI: Memperkasa Komuniti Penjaja Pasar Malam Kampung La. Inisiatif ini menyaksikan penambahbaikan tapak penjaja, yang merupakan program di bawah program Kampung Angkat MADANI. Sumbangan khemah, apron dan sistem pembayaran tanpa tunai kepada peniaga kecil, menjadikan operasi mereka lebih efisien.

Selain itu, BSN menerusi program BSN Care 50 Memberi – BSN Jengah, TKHM Singgah turut menyantuni pengamal media.

BSN menyalurkan bantuan kepada pengamal media tempatan, bekas wartawan yang menghidap penyakit kronik.

Sumbangan berupa wang tunai, keperluan asas dan kotak rezeki tanda keprihatian BSN.

Program BSN Care 50 Hari Memberi ini bukan sahaja menzahirkan semangat prihatin BSN terhadap komuniti dan alam sekitar, tetapi juga memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan serta masyarakat.

Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), BSN terus komited untuk memainkan peranan aktif dalam pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti.

Program ini telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024 yang turut melibatkan penglibatan warga kerja BSN dari seluruh negara, mencerminkan dedikasi BSN dalam membina masyarakat yang lebih lestari, inklusif dan sejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN