RMHC Malaysia suntik semangat murid

RMHC Malaysia suntik semangat murid

SEBAHAGIAN penerima sumbangan yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Pek Kembali Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan di Dewan Semai Bakti, Felda Pasir Besar, Gemas, Tampin, Negeri Sembilan, baru-baru ini. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) menyasarkan untuk mengagihkan sumbangan sebanyak 10,000 pek menerusi Program Pek Kembali Ke Sekolah kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara, dengan kos perbelanjaan kira-kira RM1 juta.

Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, menerusi peruntukan sebanyak RM1 juta tersebut, program itu menyasarkan sumbangan kepada murid prasekolah yang bakal memasuki tahun satu bagi sesi persekolahan tahun hadapan.

Menurut beliau, sumbangan tersebut sedang giat diagihkan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan bermula pada bulan Mac kelak.
“Teras pendidikan RMHC Malaysia adalah bagi membantu keluarga daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin bandar dengan menyediakan barangan keperluan persekolahan kepada anak-anak mereka yang akan melangkah ke alam persekolahan formal buat pertama kali.

“Kita lihat, setiap kali pek bantuan itu diberikan, kanak-kanak ini begitu ceria dan seronok memiliki kelengkapan persekolahan serba baharu. Melalui program ini juga, RMHC Malaysia bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan ibu bapa malahan memberi motivasi kepada anak-anak prasekolah untuk ke sekolah.

“Semoga mereka akan bersemangat untuk belajar dan menjadi insan yang berjaya, seterusnya berbakti kepada masyarakat,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Pek Kembali Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan di Dewan Semai Bakti, Felda Pasir Besar, Gemas di sini baru-baru ini.

Pada program tersebut, sejumlah 350 murid melibatkan 11 buah sekolah rendah dan empat buah Tabika Kemas di daerah ini menerima Pek Kembali Ke Sekolah yang disumbangkan oleh Yayasan Jaafar Ahmad.

Secara keseluruhannya di Negeri Sembilan, seramai 1,000 orang murid dijangka menerima pek tersebut.

Sementara itu, Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin berkata, sejak Program Pek Kembali Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan diperkenalkan pada tahun 2017, lebih RM10 juta telah dibelanjakan dan memberi manfaat kepada hampir 200,000 murid sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, sepanjang melaksanakan program berkenaan, banyak maklum balas positif yang diterima daripada ibu bapa, guru-guru dan pihak sekolah.

“Oleh itu, kami teruskan usaha ini bersama dengan rakan korporat mahupun individu persendirian yang amat mendukung program ini setiap tahun. Contohnya seperti Yayasan Jaafar Ahmad yang sering menjadi rakan penaja di Negeri Sembilan.

“Pada tahun ini, Yayasan Jaafar Ahmad telah menyumbang sebanyak RM50,000 kepada RMHC Malaysia khusus untuk memberi manfaat kepada 1,000 orang kanak-kanak di Negeri Sembilan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Penasihat Yayasan Jaafar Ahmad, Zainudin Jaafar berkata, sebagai anak jati Negeri Sembilan, mereka sekeluarga sentiasa ingin menabur bakti kepada negeri kelahiran dan masyarakat di sini.

“Sumbangan Program Pek Kembali ke Sekolah pada hari ini adalah sebahagian daripada usaha keluarga saya untuk memastikan kanak-kanak yang memerlukan mendapat akses pendidikan yang adil dan saksama dan berjaya dalam persekolahan,” katanya.

Sementara itu, rata-rata penerima, ibu bapa serta penjaga ketika ditemui jelas gembira dan ceria selepas menerima sumbangan menerusi program berkenaan.

Seorang nenek pelajar yang menerima sumbangan itu, Hamidah Alias, 68, berkata, sumbangan berkenaan amat bermakna buat cucu tunggalnya, Wan Muhammad Adam Wan Khairul Rizal, 10, yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar, Gemas.

Katanya, cucunya itu sudah bergelar anak yatim sejak di usia setahun apabila menantunya meninggal dunia akibat lemas ketika memancing di Kuantan, Pahang.
“Syukur dapat bantuan ini, sudah tentu meringankan beban ibunya dan saya. Begitu besar maknanya sumbangan ini, saya sangat berterima kasih kepada penyumbang,” katanya.

Bagi Siti Nurfatin Zulkifli, 27, pula, dia berasa sangat bertuah apabila anak sulungnya, Zara Aniqah Mohd. Rashidi, 6, juga menerima bantuan tersebut.

“Anak saya ada dua orang, yang kecil baru sahaja berusia setahun. Suami pula kerja sebagai pemandu lori, jadi bantuan ini amat membantu mengurangkan perbelanjaan kami untuk persiapan  – anak ke sekolah nanti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN