KUALA LUMPUR: Sudah banyak kesan yang boleh dilihat sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI bagi tempoh dua tahun ini dengan pelbagai aspek dapat ditangani dengan baik.
Biarpun Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diuji ketika awal pentadbiran dengan cabaran dan rintangan termasuk sokongan majoriti yang dipertikaikan, kestabilan politik berjaya dikekalkan.
Malah, hala tuju negara untuk bergelar ‘Harimau Asia’ semakin jelas sebaik sahaja beliau mengangkat sumpah pada 24 November 2022.
Paling penting, beberapa inisiatif telah dilaksanakan di sebalik bebanan hutang RM1.2 trilion seperti kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus, pelaburan asing dan tekad kerajaan demi membanteras rasuah.
Tidak ketinggalan usaha Kerajaan MADANI dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan terus kekal terpelihara.
Pentadbiran lebih meyakinkan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu temubual baru-baru ini berkata, tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI menunjukkan bukti jelas kemampuan pentadbiran masa kini yang dipimpin Anwar dalam memacu negara ke arah lebih baik.
“Pejam celik pejam celik kita sudah boleh sedar dan menghargai dua tahun ini tempoh masa yang menyumbang kepada kestabilan politik. Orang pun tidak bercakap lagi soal jatuhnya kerajaan.
“Kalau dulu bermula daripada PH1.0 selepas itu era Tan Sri Muhyiddin Yasin dan kemudian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, orang asyik memperkatakan hal tersebut.
“Kalau bulan Jun bercakap mengenai jatuh kerajaan, bulan Oktober pun begitu. Tetapi sekarang sudah beralih dan banyak yang cakap mengapa Anwar seringkali ke luar negara atau mempersoalkan mengapa banyak tarik subsidi,” ujarnya.
Tambah Saifuddin, hal itu secara tidak langsung menampakkan kelemahan Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang yang berkredibiliti.
“Yang ada soal keharmonian dalam parti ialah membabitkan PN dengan persoalan sekarang siapa patut ketuai pakatan tersebut.
“Jadi itu menunjukkan berlaku pergolakan dalaman. Lagipun Pas juga tertekan kerana sebagai parti Islam paling banyak kerusi dalam Parlimen, jawatan Pengerusi PN pun mereka tidak dapat. Jadi dua tahun pertama ini menyerlahlan banyak perkara,” ujarnya.
Menurutnya, banyak perkara yang dilakukan kerajaan hari ini dalam tempoh dua tahun lalu dalam membangunkan negara dan rakyatnya.
Sementara itu pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berpandangan, pentadbiran Kerajaan MADANI perlu dikekalkan sehingga cukup penggal tempoh Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, pentadbiran hari ini lebih meyakinkan seluruh rakyat menerusi pelaksanaan dasar lebih baik dan inisiatif sepanjang dua tahun pemerintahannya.
“Lihat contoh skim kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula 1 Disember depan. Ia antara kenaikan tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam selepas kali terakhir disemak kira-kira 12 tahun lalu.
“Ini menunjukkan contoh bahawa Kerajaan MADANI pimpinan Anwar mahu memastikan produktiviti negara lebih berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Katanya, Kerajaan MADANI turut menunjukkan kesungguhan dan keazaman dalam memastikan keharmonian negara dan ketenteraman awam kekal terpelihara.
Sebagai contoh jelasnya, hubungan baik antara Malaysia dan negara luar dalam pelbagai peringkat.
“Hubungan kita dan negara jiran juga baik termasuk melibatkan kerajaan dengan kerajaan dan polis dengan polis.Jadi sebarang salah laku dan usaha menangani jenayah rentas sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah,” jelasnya.
Paling jelas katanya, Laporan Antarabangsa bagi Indeks Keamanan Global telah memberi pengiktirafan kepada Malaysia sebagai negara yang ke-10 paling aman berbanding kedudukan tahun sebelumnya yang berada di tangga ke-19.
Bukan setakat itu, Laporan Pemerdagangan Manusia oleh United States Department of State’s 2023 Trafficking in Persons (USTIP) menaikkan taraf ke Senarai Tahap Dua (Tier 2) selepas dua tahun berada di kedudukan yang tercorot.
Dalam isu yang menyentuh kewarganegaraan katanya, kejayaan Pindaan RUU Undang-Undang berkait isu kewarganegaraan yang memberi kesamarataan kepada ibu warga Malaysia mewarisi hak warganegara kepada anak yang lahir di luar negara telah mendapat undian majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Menurut beliau, pindaan berjaya direalisasikan hasil komitmen dan usaha berterusan Saifuddin Nasution bersama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.
Amalan pentadbiran bertanggungjawab, pastikan keharmonian rakyat
Dalam perkembangan lain, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, setakat ini pentadbiran Anwar sudah mula menunjukkan hasil yang turut dirasai rakyat.
“Sektor ekonomi dan kuasa beli rakyat yang mula meningkat naik sedikit sebanyak menimbulkan impak positif.
“Rakyat sudah mula menerima dasar dan keadaan negara.Begitu juga dengan aktiviti pembangunan termasuk program yang sebelum ini dihapuskan telah dikembalikan,” jelasnya.
Bukan setakat itu, Mohamad Faisol berkata, Kerajaan MADANI kini begitu serius dalam menangani ancaman sama ada di peringkat domestik mahupun ancaman luar.
“Kita boleh lihat menerusi pelancaran Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Lampau Keganasan (MyPCVE) baru-baru ini.
“Begitu juga dengan kadar pengurangan kadar jenayah bagi kapasiti 100,000 penduduk dilaporkan sebanyak 842 kes berbanding 860 kes sasaran yang ditetapkan,” ujarnya.
Menurutnya, KDN juga telah memperkenal penggunaan Kod QR bagi pemeriksaan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) berjaya mengurangkan 54 peratus menunggu seterusnya mengurangkan kesesakan di pintu masuk negara.
Katanya lagi, dengan mengekalkan pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Anwar, beliau dapat merancang dasar yang memberi kesan positif untuk masa depan negara seperti pendidikan, tenaga hijau, dan pembangunan teknologi.
Proaktif di peringkat antarabangsa, keselamatan maritim
Dari satu sudut yang lain, Mohamad Faisol berkata, kemenangan Anwar dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan MADANI membawa mandat dan tanggungjawab kepada generasi muda yang mahukan perubahan terutama berkaitan visi kerajaan termasuk berkaitan hal ehwal antarabangsa dan keselamatan maritim.
“Kerajaan MADANI telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi,” ujarnya.
KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.
Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, mengekalkan Kerajaan MADANI sehingga PRU16 atau sehingga PRU17 sekalipun memberi ruang untuk merealisasikan visi dan agenda pembaharuan, selain memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara. – UTUSAN