Permit asrama penting, utama keselamatan pekerja

Permit asrama penting, utama keselamatan pekerja

ASRAMA pekerja yang dikendalikan oleh Westlite Accommodation.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sesebuah syarikat atau sebuah badan sebagai majikan perlu mengutamakan keselamatan pekerja apabila menyediakan tempat tinggal untuk mereka.

Hal ini kerana, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) telah menguatkuasakan peraturan yang perlu dipatuhi oleh majikan berkaitan penyediaan perumahan dan penginapan serta kemudahan kepada pekerja.

Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bertujuan mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, bersih dan kondusif untuk kegunaan pekerja.

Malah, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut memperuntuk sijil perakuan dari agensi itu bagi mana-mana premis seperti asrama dan dormitori pekerja untuk 4 tingkat dan lebih di mana setiap kawasan lantai melebihi 250 meter persegi atau 6 tingkat dan lebih.

Namun, sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura, Westlite Accommodation dipercayai menjalankan operasi perniagaan asrama pekerja tanpa permit yang sah di daerah Iskandar Puteri, Johor.

PEKERJA yang tinggal di asrama kendalian Westlite Accommodation di Johor Technology Park dilihat keluar masuk daripada kediaman tersebut.

Utusan Malaysia dimaklumkan bahawa cawangan mereka di daerah itu dikeluarkan notis pemberhentian aktiviti perniagaan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) kerana asrama pekerja itu dijalankan tanpa lesen dari MBIP pada tarikh 9 Disember lalu.

Ketika Utusan Malaysia menghubungi wakil Westlite di sana, mereka memaklumkan perkara itu hanya boleh dijelaskan oleh wakil Komunikasi Korporat syarikat itu di Singapura.

Sementara itu, wakil Komunikasi Korporat ibu pejabat Westlite, David Phey berkata, beliau mendakwa syarikatnya menjalankan operasi perniagaan yang sah.

Jelasnya, tidak timbul isu syarikatnya menjalankan perniagaan secara haram berikutan permit telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).

“Permit untuk kami beroperasi ada dan ia dikeluarkan oleh MPKU. Ada kesilapan dalam alamat untuk notis yang dikeluarkan oleh MBIP kerana berbeza daerah.

“Salah faham berlaku kerana kawasan itu kini diuruskan oleh MBIP tetapi mereka (MBIP) ada meminta kami mohon permit baharu. Kita juga ada sijil penginapan dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK)” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, Utusan Malaysia mendapati bahawa syarikat itu menjalankan perniagaan asrama pekerja di daerah Iskandar Puteri menggunakan permit yang beralamat di Kulai.

Semakan Utusan Malaysia di laman web JTKSM menemui syarikat Westlite hanya mempunyai asrama pekerja yang sah di alamat Lot No. 6212, Jalan Perindustrian 2, Kawasan Perindustrian Senai II, Senai, Kulai, Johor.

Pada masa sama, laman web itu juga tidak memaparkan sebarang asrama pekerja yang sah bagi syarikat itu di daerah Iskandar Puteri.

Dalam pada itu, jurucakap MBIP mengesahkan bahawa asrama pekerja Westlite yang beroperasi di Iskandar Puteri telahpun diberhentikan operasi.

Notis menjaja tanpa lesen itu memperuntuk Westlite menghentikan sebarang operasi selepas semakan dilakukan dalam tempoh tujuh hari.

“Notis yang dikeluarkan pada 9 Disember lalu mengarahkan mereka menghentikan operasi perniagaan mereka kerana tidak mematuhi peraturan serta tidak mempunyai permit yang sah.

“Berdasarkan notis itu juga mereka telah berhenti operasi pada tarikh 16 Disember,” katanya.

ASRAMA pekerja kendalian Westlite Accommodation di Johor Technology Park dilihat masih beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia Rabu lalu mendapati asrama pekerja berkenaan yang terletak di Technology Park Senai masih beroperasi seperti biasa.

Semasa tinjauan pada waktu tengah hari mendapati ada pergerakan keluar masuk para pekerja menerusi pintu masuk utama.

Lima blok asrama empat tingkat berkenaan didiami oleh pekerja wanita dan lelaki.

Pada bahagian hadapan pula terdapat bangunan yang menempatkan pejabat pengurusan dan kedai makan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN