PETALING JAYA: Tengku Razaleigh Hamzah percaya hanya kepimpinan berwawasan boleh menamatkan pertikaian Sarawak serta Petronas berhubung hak sumber minyak dan gas (O&G) di dalam serta sekitar negeri itu.
Sepanjang tahun lalu, Sarawak mendesak Petronas menandatangani perjanjian yang akan menjadikan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) agregator gas tunggal di negeri itu.
Minggu lalu, Premier Sarawak, Abang Johari Openg menolak dakwaan negerinya tamak dengan berkata ia hanya menggunakan ‘hak perlembagaan’ untuk mengagihkan gas milik negeri itu.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Sarawak sedia berdepan mana-mana pihak ‘tidak menghormati haknya’ di mahkamah.
Namun ada perkembangan dan beberapa bukti menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak berkompromi.
Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keterbukaannya terhadap rundingan berdasarkan kepercayaan, persefahaman dan saling menghormati. Bercakap mengenai hubungan persekutuan-negeri, Anwar memberitahu “(Malaysia ialah) sistem persekutuan. Kami kemudi, kami berunding, tetapi kami tetapkan batas (jika perlu).
Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga anak jati Sarawak, berharap keputusan saling menguntungkan akan dicapai yang akan memanfaatkan negeri itu dan negara.
“Apa yang kami mahu capai ialah keputusan ‘menang-menang’ untuk negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tengku Razaleigh berkata, perkongsian menang-menang antara negeri dan persekutuan yang dibina atas integriti serta komitmen terhadap pengagihan kekayaan saksama dalam kalangan semua rakyat Malaysia sudah wujud apabila industri minyak dan gas Malaysia ditubuhkan pada 1974.
Sejak itu, setiap negeri mendapat manfaat daripada ketersediaan produk awam seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pertahanan negara. Katanya, cabaran buat pemimpin hari ini ialah mendapatkan semula semangat ini dan mengesahkan komitmen mereka terhadap prinsip ini.
Tuntutan Sarawak ke atas O&G
Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) memberikan hak eksklusif kepada Petronas ke atas semua sumber petroleum di dalam dan luar pesisir di seluruh negara, termasuk di Sarawak. Ia hak yang dimiliki syarikat minyak negara itu sejak 50 tahun lalu.
Tetapi, beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak mengambil pelbagai langkah untuk menuntut sumber berharga ini. Ia meluluskan Ordinan Pengagihan Gas pada 2016 dan memperbadankan Petros pada tahun berikutnya.
Sarawak mengesan haknya kepada dua lagi undang-undang. Ia mendakwa Perintah dalam Majlis (Pengubahan Sempadan) Sarawak 1954, yang dikeluarkan ketika pemerintahan kolonial memperluaskan sempadan negeri itu untuk merangkumi pelantar benua di luar pesisirnya.
Ia juga menyatakan satu lagi undang-undang negeri, Ordinan Minyak dan Perlombongan 1958 (OMO), yang mendahului PDA, memberikannya hak ke atas semua sumber O&G dalam sempadan itu.
Pakar undang-undang bagaimanapun mencabar dakwaan itu, tetapi ia tidak menghalang Sarawak daripada mendesak Petros mengambil alih sepenuhnya pembelian, penjualan, penetapan harga, pembekalan dan pengagihan gas asli di negeri itu.
Motivasi Sarawak jelas. Ia berusaha menjana pendapatan lebih besar untuk tabungnya. Ia juga mahu memastikan 30% gas untuk kegunaan domestik, sejajar Pelan Hala Tuju Gas Sarawak 2030, meningkat daripada 5% ketika ini.
Sarawak turut mendakwa negeri itu tidak menerima bahagian adil daripada sumbernya, menuduh kerajaan persekutuan berat sebelah terhadap Semenanjung Malaysia selama ini.
Kepimpinan berwawasan
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tengku Razaleigh menggesa pemimpin persekutuan dan negeri mencontohi pandangan jauh pemimpin berwawasan mereka pada awal 1970-an yang mewujudkan struktur semasa.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan yang diketuai Perdana Menteri ketika itu, Razak Hussein berunding dengan kerajaan negeri untuk menasionalisasikan semua sumber O&G serta menubuhkan Petronas.
Ketua Menteri Sarawak pertama, Rahman Ya’kub memainkan peranan penting dalam rundingan itu, yang dijalankan dengan niat baik dan hasrat bersama untuk mengutamakan kepentingan negara, kata Tengku Razaleigh.
“(Rahman) mahu sebuah badan diwujudkan. Selepas mengambil kira undang-undang yang digubal di negeri, Petronas dilahirkan,” jelasnya.
Beliau berkata, nasionalisasi semua sumber O&G memberi permulaan baharu kepada Malaysia.
“Kita boleh menggunakan kekayaan minyak untuk membina negara (sekarang), biarkan ia kembang bersama dan rakyat mendapat manfaat.
“Pemikiran murni Tun Razak ialah duit minyak perlu dikembalikan kepada rakyat dan saya bersetuju dengannya,” katanya sambil menambah perdana menteri ketika itu mendapat kepercayaan penuh semua orang untuk menjadi penjaga kekayaan negara,” katanya.
Langkah terlalu jauh
Beberapa tahun ini, syarikat minyak negara menjalin kerjasama dengan Petros, termasuk memainkan peranan utama dalam usaha penangkapan dan penyimpanan karbon.
Tetapi, Petronas enggan menyerahkan peranan agregator gas tunggal, yang mungkin langkah terlalu jauh dan membawa kewangan teruk kepada seluruh negara.
Tengku Razaleigh berkata, Sarawak mungkin merasakan ia berhak mendapat lebih daripada apa yang diperolehinya, tetapi mengingatkan ia tidak mengambil langkah yang boleh menjejaskan Petronas.
“Jika Sarawak merasakan mereka menjadi mangsa, kenapa tidak bangkit isu itu [ke Putrajaya]?
“Bincang dengan kerajaan pusat atau perdana menteri, yang bertanggungjawab ke atas Petronas. Lihat di mana silapnya dan di mana mereka dilayan secara tidak adil dan saya pasti mereka boleh perbetulkannya.
“Tetapi, jangan bunuh angsa yang bertelur emas itu.”
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bersetuju dan memberi amaran Sarawak mungkin makan diri jika Petronas terjejas.
“Anda tak boleh bunuh angsa yang bertelur emas. Jika Petronas alami kerugian, Sarawak akan rugi juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jika Petronas menyerahkan peranannya sebagai agregator gas tunggal di Sarawak, ia akan memberi kesan besar kepada kewangan syarikat itu.
Sejak Petronas ditubuhkan, syarikat itu menyumbang kira-kira RM1.4 trilion dividen minyak, cukai dan pembayaran tunai kepada pembangunan sosioekonomi serta pembinaan negara.
Tetapi, dengan 90% kargo gasnya dikatakan datang dari Sarawak, Petronas menjangkakan keuntungan gas tahunannya antara RM10-20 bilion menyusut dengan ketara. Ia turut mengunjurkan eksport tahunannya yang dianggarkan RM136 bilion tahun lalu akan berkurangan secara ketara.
Ini mungkin mendatangkan masalah kepada kewangan persekutuan, yang bermakna sumbangan Putrajaya jauh lebih rendah untuk perbelanjaan pembangunan di semua negeri, termasuk Sarawak.
Petros, sementara itu, mungkin perlu beroperasi pada skala lebih kecil.
Disebabkan pelaburan besar diperlukan untuk beroperasi dalam industri itu, dan tanpa manfaat kedudukan Petronas, skala ekonomi yang dinikmati syarikat minyak negara serta kepakaran sedia adanya, Petros mungkin bergelut membawa kesan diinginkan ke atas kewangan Sarawak.
“Rakyat Sarawak orang bijak. Saya kenal betul dengan Abang Johari. Beliau pasti tahu ada had terhadap tuntutan yang boleh dibuatnya.
“Sarawak tidak melaksanakan penerokaan dan pengeluaran huluan. Mereka dapat hasil itu daripada aktiviti Petronas. Petronas perlukan Sarawak dan Sarawak perlukan Petronas,” kata Muhyiddin.
Mengejar penyelesaian ‘menang-menang’
Penyelesaian “menang-menang” yang disarankan Fadillah memerlukan kedua-dua pihak mengetepikan kedudukan undang-undang masing-masing untuk mengelakkan pertikaian mahkamah tanpa kompromi.
“(Jika Sarawak mahu) autonomi dalam pengeluaran petrol, itu boleh dikaji,” kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Utusan Malaysia.
Penggantinya, Muhyiddin menggesa kerajaan pusat dan negeri bersikap adil serta munasabah dalam rundingan, khususnya terhadap Petronas.
“Petronas melabur berbilion-bilion di Sarawak untuk menggerudi di tengah lautan (bagi mendapatkan) petroleum. Anda (Sarawak) perlukan Petronas.
“Walaupun mereka mempunyai pendapatan besar, saya tahu Petronas perlu melabur semula jumlah yang lebih besar. Apatah lagi, Petronas bukan saja beroperasi di Malaysia. Petronas beroperasi di banyak negara untuk menampung sebarang kekurangan di sini.
“Mesti ada cara untuk mencari penyelesaian adil dan saksama kepada masalah itu,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata, Petronas bukan milik kerajaan, sebaliknya ‘ia milik semua rakyat Malaysia’.-UTUSAN