Peratusan graduan UniMAP raih gaji premium terus meningkat

Peratusan graduan UniMAP raih gaji premium terus meningkat

INDUSTRI TVET seperti bidang elektrik dan elektronik (E&E) sememangnya sedang berkembang dan ini membuka peluang buat graduan UniMAP meraih gaji premium berikutan kelebihan universiti tersebut dalam bidang itu.-MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Peratusan graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang ditawarkan pekerjaan dan meraih gaji premium lebih RM4,000 sebulan terus menunjukkan peningkatan daripada 10 peratus pada 2023 kepada 12 peratus tahun ini.

Malah, peratusan berkenaan dijangka meningkat sehingga 16 peratus menjelang enam bulan selepas bergraduan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimap, Prof Ir. Dr. Mohd. Shukry Abdul Majid berkata, peningkatan peratusan tersebut didorong oleh permintaan sektor industri yang menawarkan peluang pekerjaan dan gaji premium yang tinggi kepada graduan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, industri TVET seperti bidang elektrik dan elektronik (E&E) sememangnya sedang berkembang dan ini membuka peluang buat graduan Unimap meraih gaji premium berikutan kelebihan universiti tersebut dalam bidang itu.

“Kebolehpasaran graduan kita juga tinggi malah banyak majikan turut menawarkan peluang latihan industri buat mahasiswa dari Unimap,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

September lalu, Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) bersetuju menetapkan gaji premium kepada lepasan TVET pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, penetapan kadar gaji tersebut melebihi pendapatan minimum yang ditetapkan kerajaan serta bertujuan menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan.

Sebagai rekod, kebolehpasaran graduan Unimap tahun lalu mencecah 97.7 peratus dengan kebanyakkan mereka mendapat pekerjaan di syarikat multinasional dan menikmati gaji premium melebihi RM4,000 sebulan.

Tambah Mohd. Shukry, Unimap juga mensasarkan mencapai kadar 30 peratus lepasan graduan universiti itu meraih gaji premium dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meletakkan sasaran 16 peratus graduan di setiap universiti meraih gaji premium dan Unimap yakin mencapai sasaran itu dan kita harap terus ada peningkatan pada tahun seterusnya” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukry memberitahu, Unimap turut menawarkan 43 program akademik di mana 27 daripadanya adalah program TVET yang memenuhi kerangka Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA).

Katanya, universiti itu juga merancang menambah empat lagi program akademik baharu TVET untuk ditawarkan pada tahun 2025 dan kini sedang menunggu beberapa proses akhir antaranya akreditasi sementara daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Program baharu itu adalah Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Sarjana Muda Data Sains (Kecerdasan Buatan), Sarjana Muda Perakaunan yang dibangunkan mengikut kerangka COPTPA dan Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Bahan Metalurgi),” katanya.

Tambah beliau, pada masa ini, Unimap mempunyai hampir 13,000 pelajar dan institusi tersebut mensasarkan pertambahan 15,000 penuntut menjelang tahun 2026.

“Menjelang 2030 pula, kita mensasarkan kemasukan seramai 16,000 pelajar malah Unimap berhasrat untuk menjadi peneraju dalam agenda TVET negara khususnya bagi melahirkan bakat tersedia industri di kawasan utara semenanjung Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN