Penyewaan helikopter: Kepentingan jangka panjang negara – Satu analisis strategik

Penyewaan helikopter: Kepentingan jangka panjang negara – Satu analisis strategik

Tembual bersama Penolong Pengarah Keselamatan Kontemporari (MiDAS), Lt Kol Ts Dr. Maimunah Omar berhubung isu Penyewaan Aset di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan (MINDEF), baru-baru ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keputusan kerajaan menyewa 28 buah helikopter untuk kegunaan pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Namun, dari perspektif strategik, langkah ini wajar dianalisis secara mendalam memandangkan ia membawa implikasi yang signifikan terhadap keupayaan negara dalam jangka panjang.

Menurut pandangan Lt Kol Ts Dr Maimunah Omar, Penolong Pengarah Kontemporari dari Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), penyewaan helikopter ini bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada kerajaan dan pengguna, tetapi turut menyumbang kepada keberkesanan operasi negara dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.

Empat elemen utama telah dikenal pasti sebagai asas kepada manfaat strategik langkah ini, yang melibatkan aspek kos, keupayaan operasi, kerjasama antara agensi dan amalan terbaik dalam pengurusan aset.

Untuk menilai rasional di sebalik keputusan ini, adalah penting untuk memahami pembahagian kategori aset dalam ATM dan agensi penguatkuasaan lain.

Secara asasnya, aset ketenteraan dan penguatkuasaan boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu aset taktikal dan aset bukan taktikal.

Aset taktikal adalah aset yang digunakan secara langsung dalam operasi ketenteraan atau pertempuran, seperti kenderaan perisai dan jet pejuang.

Manakala aset bukan taktikal pula adalah aset yang digunakan untuk tujuan sokongan bukan tempur, termasuk misi mencari dan menyelamat (SAR), penghantaran bantuan logistik, operasi bantuan bencana, penerbangan ihsan dan lain-lain.

Tembual bersama Penolong Pengarah Keselamatan Kontemporari (MiDAS), Lt Kol Ts Dr. Maimunah Omar berhubung isu Penyewaan Aset di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan (MINDEF), baru-baru ini. UTUSAN/AMIR KHALID

Helikopter yang disewa oleh kerajaan dalam konteks ini tergolong dalam kategori aset bukan taktikal yang memainkan peranan penting dalam menyokong operasi bukan tempur.

Keperluan terhadap aset ini semakin mendesak memandangkan cabaran semasa seperti bencana alam, krisis kemanusiaan, dan keperluan logistik di kawasan terpencil.

Dengan memastikan aset bukan taktikal tersedia, aset taktikal dapat difokuskan sepenuhnya untuk tujuan ketenteraan.

Dari perspektif kerajaan, penyewaan helikopter memberikan beberapa kelebihan strategik, khususnya dari segi pengurusan kos dan risiko.

Antara manfaat utama adalah penjimatan kos jangka panjang. Penyewaan aset ini merangkumi kos penting seperti latihan, insurans, penyelenggaraan (MRO), teknikal, dan alat ganti.

Dalam situasi perolehan, kerajaan perlu menanggung semua kos ini secara berterusan, yang boleh menjadi beban kewangan jangka panjang.

Tambahan pula, harga alat ganti sering kali terkesan oleh kadar tukaran mata wang asing dan gangguan rantaian bekalan global. Dengan penyewaan, risiko ini dapat diminimumkan.

Selain itu, dalam konteks logistik, cabaran utama adalah memastikan ketersediaan alat ganti pada masa yang tepat (just-in-time).

Namun, faktor seperti tempoh penghantaran, stok yang terhad, dan ketidakstabilan harga sering kali menimbulkan kesulitan.

Dengan penyewaan, cabaran ini ditanggung oleh penyedia perkhidmatan, membolehkan kerajaan mengelakkan gangguan operasi.

Penyewaan aset juga mengurangkan keperluan tambahan bajet yang sering kali diperlukan dalam perolehan, terutamanya apabila kos meningkat akibat faktor luar kawalan seperti krisis geopolitik.

Ini membolehkan kerajaan menyalurkan sumber kewangan kepada keutamaan lain, termasuk pembangunan aset taktikal.

Langkah ini menunjukkan pendekatan yang lebih fleksibel dan responsif terhadap cabaran semasa, selari dengan keperluan strategik negara.

Bagi pengguna seperti ATM dan agensi penguatkuasaan lain, penyewaan helikopter memberikan beberapa kelebihan strategik dari segi keupayaan operasi.

Aset dapat diperoleh dalam tempoh yang lebih singkat, berbanding kaedah perolehan yang biasanya memakan masa tiga hingga empat tahun.

Ini membolehkan pengguna memanfaatkan aset tersebut dengan segera untuk pelbagai keperluan operasi.

Dengan aset yang diperoleh lebih awal, latihan untuk krew dan pakar teknikal dapat dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan.

Sebaliknya, kaedah perolehan memerlukan krew menunggu aset diterima secara berperingkat sebelum latihan dapat dilaksanakan yang sering memakan masa bertahun-tahun.

Penyewaan helikopter bukan taktikal membolehkan aset taktikal seperti helikopter tempur digunakan sepenuhnya untuk tujuan ketenteraan.

Ini mengelakkan aset taktikal daripada dialihkan untuk operasi bukan tempur, sekali gus meningkatkan keberkesanan keseluruhan operasi.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, tetapi juga memastikan tugas-tugas kritikal dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berfokus.

Salah satu kelebihan utama penyewaan helikopter adalah peningkatan interoperability atau kebolehgunaan bersama antara ATM dan agensi penguatkuasaan lain.

Dalam konteks ini helikopter yang disewa dapat digunakan oleh pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Spesifikasi dan teknikal helikopter yang seragam memudahkan perkongsian tenaga mahir dan krew, sekaligus mengoptimumkan sumber manusia dan kepakaran.

Dalam situasi bencana atau krisis seperti pandemik COVID-19, interoperability ini mempercepatkan usaha bantuan kemanusiaan, penghantaran logistik, dan operasi menyelamat.

Ini membuktikan bahawa penyewaan helikopter bukan sahaja meningkatkan keberkesanan operasi, tetapi juga memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi cabaran keselamatan bukan tradisional.

Konsep penyewaan bukanlah sesuatu yang baharu dalam ATM mahupun agensi kerajaan lain. Ia telah lama diamalkan dan terbukti berkesan dalam menyokong operasi bukan taktikal.

Sebagai contohnya penyewaan helikopter untuk latihan di Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2) TUDM, dan penyewaan kenderaan utiliti untuk pentadbiran melalui SPANCO.

Di peringkat antarabangsa, negara seperti Britain dan Hungary turut melaksanakan konsep penyewaan bukan sahaja untuk aset bukan taktikal, tetapi juga untuk aset taktikal.

Keberkesanan konsep ini bergantung kepada pelbagai faktor seperti spesifikasi aset, tujuan penggunaan, kadar tukaran mata wang asing, dan kemampuan industri pertahanan negara.

Oleh itu, keputusan ini perlu dilihat dari sudut strategik dan bukan semata-mata dari jumlah perbelanjaan.

Lt Kol Ts Dr Maimunah Omar turut mencadangkan beberapa langkah untuk meningkatkan keberkesanan konsep penyewaan ini seperti pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran.

Kerajaan perlu memastikan terdapat elemen pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran antara penyedia perkhidmatan dan pengguna. Ini penting untuk membina kapasiti tempatan dalam jangka panjang.

Selain itu, kontrak penyewaan harus fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan keperluan pengguna dari semasa ke semasa.

Beliau juga berpandangan bahawa perbincangan masyarakat mengenai isu ini menunjukkan kematangan dalam memahami perkembangan pertahanan negara.

Namun, pandangan yang diberikan perlu menyeluruh dan melibatkan pihak yang tepat seperti pengguna dan pelaksana, agar pandangan dan pendapat yang dibuat adalah berdasarkan kepentingan negara.

Penyewaan 28 buah helikopter untuk kegunaan ATM dan agensi penguatkuasaan lain adalah langkah strategik yang memberikan pelbagai manfaat jangka panjang kepada negara.

Keputusan ini bukan sahaja mengurangkan kos dan risiko, tetapi juga meningkatkan kecekapan operasi, mempercepatkan akses kepada aset, dan menggalakkan kerjasama antara agensi.

Dengan pelaksanaan yang teliti dan kerjasama antara semua pihak, konsep penyewaan ini mampu menjadi model pengurusan aset yang berkesan, selari dengan keperluan strategik negara dalam menghadapi cabaran masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN