Penyasaran subsidi bantu tingkat bantuan, pembangunan

Penyasaran subsidi bantu tingkat bantuan, pembangunan

Penyasaran subsidi memberi ruang kewangan kepada kerajaan untuk menyalurkan dana untuk pembangunan prasarana bagi kemudahan rakyat serta mempertingkat bantuan kepada majoriti rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyasaran subsidi wajar dilaksanakan kerana dasar ini memberi ruang kewangan kepada kerajaan untuk menyalurkan dana kepada pembangunan prasarana bagi kemudahan rakyat serta mempertingkat bantuan kepada majoriti rakyat.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini terbukti menerusi hasil penyasaran subsidi diesel yang masih dinikmati oleh sektor logistik dan sekitar 60 peratus pengguna diesel individu.

Namun, ujarnya, apabila subsidi diesel ini disasarkan, kerajaan berjaya menjimatkan sehingga RM4 bilion setahun.

“Daripada penjimatan itu, kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM10 bilion pada Belanjawan 2024 kepada RM13 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025.

“Saya percaya dengan jangkaan penjimatan sehingga RM8 bilion setahun menerusi rasionalisasi subsidi petrol RON95, peruntukan STR akan meningkat lagi pada 2026 dan banyak lagi inisiatif membantu rakyat yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan bercadang akan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 dan penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Dana RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing, perniagaan besar dan golongan maha kaya akan dimanfaatkan kepada kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

Namun kerajaan masih menanggung RM12 bilion subsidi untuk keperluan 85 peratus pengguna tempatan setiap tahun.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, hasrat kerajaan merasionalisasikan subsidi perlu disokong namun tidak dinafikan terdapat cabaran dari segi pelaksanaan.

Ujarnya, Jabatan Perangkaan telah menerbitkan data Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang boleh diguna pakai sebagai dasar awal untuk mengenal pasti standard kos sara hidup kebangsaan setiap negeri.

“Ini boleh digabungkan dengan pelbagai data yang diuruskan oleh kerajaan seperti e-kasih, data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pangkalan Data Utama (PADU) supaya kerajaan dapat melaksanakan pemberian subsidi bersasar yang efektif.

“Pemberian subsidi bersasar berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih mengikut setiap isi rumah bagi setiap lokasi di seluruh negara bukanlah mudah dan dapat dilakukan dalam waktu yang singkat, namun ia perlu dimulakan dan ditambah baik dari masa ke masa secara progresif melalui pengurusan data yang cekap oleh kerajaan.

“Tidak mustahil, ia juga mungkin menjadi kaedah yang menjadi contoh kepada negara-negara lain kelak dalam pelaksanaan subsidi bersasar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN