‘Papan tanda pelbagai bahasa tak salah’ - King Sing

‘Papan tanda pelbagai bahasa tak salah’ – King Sing

Tiong King Sing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Papan tanda pelbagai bahasa menunjukkan kepelbagaian masyarakat yang ada di Malaysia, selain turut memudahkan pengunjung luar negara memahami maksud yang tertera padanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau menyifatkan perkara tersebut bertujuan membantu mempromosikan industri pelancongan negara.

Katanya, beliau melihat keperluan papan tanda menggunakan pelbagai bahasa bagi menarik minat pelancong asing datang ke negara ini.

“Kita sedaya upaya bekerjasama dengan China untuk membantu mempromosi Malaysia. Bukan kita sahaja meminta bantuan China tetapi negara Arab pun agresif berkempen untuk China dan meminta pelancong mereka datang (ke negara Arab. China pelabur yang besar, apabila mereka melabur di negara kita, barulah ekonomi Malaysia akan berkembang.

“Tetapi sekarang ini orang kata kita rasis, ada yang buat laporan polis. Sekarang semua isu tersebar di media sosial, keluar di TikTok. Nanti China sendiri pesan supaya jangan datang ke Malaysia kerana kita rasis. Siapa mahu datang Malaysia,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.

Mengulas hal tersebut, King Sing berkata, DBKL seharusnya mengambil langkah diplomasi untuk menyelesaikan isu berkenaan supaya hubungan dengan pihak kementerian tetap terjalin dengan baik.

“Saya kata, kita perlu mempromosikan bahasa yang pelbagai, ada dua bahasa. Apa salahnya? Tetapi kita tengok, DBKL terlalu kasar dan ia memberi gambaran yang sangat teruk. Bangsa lain akan terkejut dan ia akan menjejaskan sektor pelancongan negara.

“Kenapa tidak boleh hantar notis 14 atau 21 hari terlebih dahulu? Kenapa tidak melalui pegawai kita untuk adakan libat urus? Saya rasa kalau kita ada libat urus secara dalaman, pastinya banyak perkara boleh diselesaikan dengan mudah,” ujarnya.

Dalam hal ini, King Sing menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan segala isu khususnya membabitkan perkauman serta dalam masa sama beliau akan terus memastikan sektor pelancongan negara terus berkembang.

Dalam perkembangan lain, King Sing memberitahu, kerajaan akan memanfaatkan platform ASEAN dalam usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (VM2026) sekali gus menjadikan negara ini sebagai destinasi pelancongan di peringkat serantau dan global.

“Jangan semua perkara kita kaitkan dengan politik, kalau kita buat seperti itu, memang kita tidak akan berjaya termasuklah tahun depan kita akan menjadi tuan rumah untuk Sidang Kemuncak ASEAN. Kalau kita terus begini, kita tidak akan berjaya dan semua orang akan takut kerana semua perkara dikaitkan dengan isu agama.

“Jika begini, negara Arab pun tidak akan suka. Bila saya cerita, mereka akan kata negara anda tidak terbuka,” ujarnya.

Pada akhir tahun ini dan sepanjang 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada beberapa mesyuarat utama ASEAN yang melibatkan beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), China, Korea Selatan, Jepun, Eropah, India, Australia dan New Zealand.

Pada Mei tahun depan, negara akan menganjurkan Persidangan ASEANGCC+China yang meliputi semua negara ASEAN, enam negara Teluk termasuk Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emirirah Arab Bersatu serta China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN