MiSHA teroka potensi kerjasama kesihatan paru-paru dalam sektor pekerjaan

MiSHA teroka potensi kerjasama kesihatan paru-paru dalam sektor pekerjaan

ROMBONGAN Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) bergambar bersama Dr. Dzulkefly  Ahmad (tengah) semasa berkunjung ke Kementerian Kesihatan di Putrajaya, Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) meneroka potensi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan melibatkan inisiatif kesihatan paru-paru dalam sektor pekerjaan di negara ini.

Kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan penjagaan kesihatan paru-paru dalam kalangan pekerja industri berisiko tinggi. 

Presiden MiSHA, Aziz Basiran berkata, inisiatif itu merangkumi empat fokus iaitu pengumpulan data dan penyelidikan; penyebaran kesedaran kesihatan paru-paru di tempat kerja; program pemeriksaan kesihatan dan penjagaan kesihatan paru-paru  serta pembangunan garis panduan dan piawaian kesihatan paru-paru di tempat kerja.

“Kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan melalui Inisiatif Kesihatan Paru-paru Dalam Sektor Pekerjaan membuktikan komitmen MiSHA untuk memperjuang kesejahteraan pekerja di Malaysia. 

“Potensi kolaborasi ini akan membuka jalan kepada usaha yang lebih terfokus dalam pencegahan, pengumpulan data dan peningkatan kesedaran tentang kesihatan paru-paru, khususnya di sektor yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, rombongan MiSHA mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Kesihatan di Putrajaya termasuk berjumpa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly  Ahmad dan dihadiri oleh ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan kementerian berkenaan pada Isnin lalu.

Dalam kunjungan itu, selain berbincang tentang potensi kerjasama, persatuan berkenaan turut membentangkan mengenai  majlis Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) 2024 bertemakan Mencipta Semula Kesihatan di Tempat Kerja yang dijadual berlangsung pada 17 Januari ini.

Sebagai sebahagian daripada anugerah tersebut, diperkenalkan ‘Anugerah Khas Menteri (Amalan Cemerlang Aspek Kesihatan Pekerjaan)’ kepada organisasi yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam aspek kesihatan pekerjaan. 

Anugerah tersebut memilih 40 syarikat daripada pelbagai industri yang menunjukkan aspek  kecemerlangan dalam amalan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (KKP) di tempat kerja serta membuktikan keprihatinan sektor korporat terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Dalam pada itu, Pengerusi OSHPoP 2024, Abd. Mutalib Abd Gapar berkata, Anugerah Kebangsaan Kecemerlangan MiSHA adalah platform utama untuk mengiktiraf syarikat yang komited dalam mempromosikan prinsip pencegahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. 

“Tema tahun ini iaitu Mencipta Semula Kesihatan di Tempat Kerja bertujuan mendorong sektor industri melaksanakan inovasi dan amalan terbaik dalam kesihatan pekerjaan. Dengan sokongan menteri, kami percaya anugerah ini  menjadi pemangkin perubahan positif dalam pelbagai sektor,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN