MIHAS @ Dubai 2024 dan JFEX Winter 2024: Usahawan PKNS terokai pasaran antarabangsa

MIHAS @ Dubai 2024 dan JFEX Winter 2024: Usahawan PKNS terokai pasaran antarabangsa

PENGURUS Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof (tujuh, kiri) bergambar dengan usahawan yang menyertai pameran JFEX Winter 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus mengukuhkan peranan dalam memperkasakan usahawan Bumiputera menerusi penyertaan dalam pameran antarabangsa Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) @ Dubai 2024 dan Japan International Food Expo (JFEX) Winter 2024, yang menjadi platform penting untuk mempromosikan produk, menarik pelaburan asing, dan memperluas jaringan perdagangan global.

Pameran MIHAS @ Dubai 2024 yang berlangsung pada 17 hingga 21 November 2024 di Pusat Dagangan Dunia Dubai, Emiriah Arab Bersatu anjuran MATRADE itu menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal seperti makanan, kecantikan, kesihatan, dan kelestarian.

Usahawan PKNS berjaya meraih nilai potensi perniagaan berjumlah RM29.44 juta (USD7.36 juta), menyumbang 5.6% daripada jumlah keseluruhan nilai perniagaan syarikat terlibat berjumlah RM510.0 juta sepanjang penyertaan di pameran MIHAS tersebut.

MIHAS @ Dubai 2024 telah menyaksikan penyertaan enam syarikat usahawan PKNS iaitu Pisango Sdn. Bhd., Empayar Teguh Niaga Sdn. Bhd., Dunita International Sdn. Bhd., Citra Kesom Sdn. Bhd., Monstr Confectionery Sdn. Bhd. dan Riezthelicious Sdn. Bhd.

Antara produk usahawan yang dipamerkan ialah Pisango (snek berasaskan pisang), Smokey Tea (minuman), Vetomin-M (makanan tambahan haiwan), Boom Cha (minuman pribiotik), biskut Monstr dan snek Cropop.

 

PENGUNJUNG di reruai PKNS semasa pameran MIHAS,
Dubai.

Dengan penyertaan di ekspo ini, usahawan PKNS berpeluang untuk membawa jenama mereka kepada tahap yang lebih tinggi terutamanya untuk pasaran Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika selain berpeluang membina jaringan strategik dengan rakan-rakan pempamer dari 45 negara seluruh dunia.

Sementara itu, pada 26 hingga 29 November 2024, 10 usahawan di bawah Program Pecutan Eksport telah menyertai pameran antarabangsa Japan International Food Expo (JFEX) Winter 2024 anjuran RX Japan Ltd. di Makuhari Messe, Chiba, Jepun sebagai usaha berterusan PKNS dalam memperkasakan industri usahawan khususnya di negeri Selangor.

NURAMALINA Ahmad Baharuddin (dua, kanan) dari Krupkrap International Sdn Bhd sedang mengadakan sesi padanan perniagaan dengan pembekal dari Kobe Busan Co Ltd. semasa pameran JFEX Winter 2024.

PKNS melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) telah menjalankan kerjasama strategik bersama SME Corporation Malaysia (SME) di dalam mewujudkan Program Pecutan Eksport, satu program bagi memperkasakan lagi program pembangunan galakan Bumiputera Eksport. Program ini adalah sebahagian daripada usaha meneroka pasaran Jepun menjelang World Expo Osaka 2025.

Produk usahawan yang dipamerkan termasuk biskut SunTropika, OLi Jelly, minuman Entrusol Oat Cereal Drink, Maleeq Café, snek Aducktive, Golden Salted Egg Peyek, Pisango, Sparkles Popcorn, lada Nang Ori dan kerepek tempe yang berjaya menarik perhatian pembeli Jepun.

Di JFEX Winter 2024, BPU turut mengambil kesempatan mengatur sesi padanan perniagaan antara usahawan dengan syarikat Jepun seperti SL Japan Co. Ltd dan Heiwa Asia Co. Ltd, melibatkan pembekal, pemborong, dan peruncit tempatan. Inisiatif ini dianggarkan mampu menjana potensi jualan sebanyak RM10 juta, yang akan dipantau selama enam bulan bagi menentukan nilai eksport sebenar yang dimuktamadkan.

 

ANTARA pengunjung di pameran MIHAS yang
mengunjungi reruai usahawan produk snek
Cropop

Antara negara yang menyertai pameran JFEX adalah Korea Selatan, China, Taiwan, Thailand, Perancis, Itali, Jerman dan beberapa negara lain.

Dengan penyertaan di kedua-dua ekspo ini, PKNS bukan sahaja memperluaskan peluang ekonomi untuk usahawan Bumiputera, tetapi juga mempromosikan inovasi serta teknologi dalam pelbagai industri bagi meningkatkan daya saing global, seiring dengan usaha berterusan PKNS mendukung pembangunan keusahawanan di peringkat antarabangsa.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN