KUANTAN: Pembinaan Bangunan Merdeka Residensi @ J-City Kuantan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun depan.
Difahamkan, setakat ini progres pembinaan bangunan 32 tingkat itu menghampiri 65 peratus.
Pengarah Urusan JYC Holdings Sdn. Bhd., Datuk Aw Yong Kai Jan berkata, bangunan itu dilengkapi dengan 361 unit rumah, enam lot kedai, enam lot pejabat dan empat lot restoran awan (sky restaurant).
Katanya, unit rumah berkenaan dibahagikan kepada tiga jenis iaitu jenis A, B dan C.
“Sky restaurant terletak di tingkat paling atas yang boleh menerima pengunjung hampir 800 orang. Setiap tingkat dilengkapi dengan 19 unit rumah. Jenis A ada tiga tingkat terdiri dari 57 unit rumah, jenis C satu tingkat sahaja dengan 19 unit dan selebihnya adalah jenis B dengan 285 unit rumah,” katanya selepas majlis pra pelancaran kondo mewah itu di sini, semalam.
Menurutnya, setiap unit rumah berkenaan dijual pada harga sama tanpa mengira tingkat lantai atau sudut pemandangan.
“Harga semua sama tidak kisah tingkat berapa atau memiliki pemandangan laut atau tidak, semua sama. Setakat semalam, lebih separuh daripada 361 unit rumah ini telah dijual termasuk kesemua 19 unit rumah jenis C,” katanya.
Beliau berkata, apartmen yang ditawarkan bukan sahaja berada di lokasi tengah bandar Kuantan, malah dikelilingi dengan pelbagai daya tarikan pelancongan dan mercu tanda bandar raya ini.
“Promosi kita adalah lebih kepada pelaburan. Apabila sudah beli, kita kena sewa balik dalam tempoh tujuh tahun.
“Kadar sewa itu bukan sahaja membolehkan pembeli membayar rumah dan penyelenggaraan, malah boleh memiliki duit poket sekitar RM400 setiap bulan.
“Konsep kita adalah jaminan sewa dengan menandatangani perjanjian sewa, jadi pembeli tidak rugi. Harga sewaan kekal untuk tujuh tahun dan selepas tujuh tahun boleh menarik diri atau teruskan perjanjian bergantung kepada pemilik,” katanya. – UTUSAN