Mengangkat seni teater Mek Mulung merentasi Tambak Johor

Mengangkat seni teater Mek Mulung merentasi Tambak Johor

PEMENTASAN teater tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan di Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) mahu mengangkat kisah tradisional Kedah menerusi Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan ke seluruh negara menerusi Siri Jelajah 2 di daerah ini oleh Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa.

Ketua Pengarahnya, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, pihaknya mahu memastikan seni yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu turut dikenali ke seberang Tambak Johor.

Katanya, itu antara impak diharapkan selepas menganjurkan teater berkenaan di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, di sini.

“Antara tujuan pementasan teater ini adalah untuk melestarikan kesenian tradisional Mek Mulung. Ini kerana kita sedar walaupun ia dikenali di Kedah, tetapi tidak di negeri-negeri lain apatah lagi di Johor.

“Pementasan ini merupakan pertama kali ia diadakan di selatan tanah air dan kami teruja dengan sambutan penduduk setempat, bukan sahaja dari Johor malah oleh masyarakat Melayu Singapura,” katanya selepas pementasan hari pertama teater berkenaan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac), Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Abu.

Mohd. Amran turut berterima kasih atas kerjasama dan sokongan pelbagai pihak, termasuk Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah dan Yayasan Raja Zarith Sofiah.

“Kita mahu merakyatkan teater tradisional ini kepada khalayak baharu, iaitu golongan muda supaya mereka kenal, faham dan turut mencintai seni teater tradisional tempatan.

“Selain itu, kita mahu mencari lebih ramai lagi pelapis penggiat seni teater ini kerana saya percaya ia bukan sahaja identiti masyarakat Melayu Kedah, malah masyarakat Melayu secara keseluruhan,” jelasnya.

Pementasan Putera Cahaya Bulan, mengisahkan Raja Negeri Selindungan Bulan, iaitu Putera Cahaya Bulan yang mendapat firasat bahawa Permaisurinya, Pu­teri Nang Mara akan dilarikan Raja Gergasi yang memerintah Benua Pakkian.

Pementasan teater yang menggunakan dialek Kedah sepenuh­nya itu turut diselitkan dengan elemen-elemen tempatan Johor dan isu-isu semasa negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN