KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan meneruskan inisiatif menyumbang kotak bantuan makanan asas kepada golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan sebagai usaha memperkukuh solidariti masyarakat melalui pelbagai aktiviti berteraskan kemanusiaan, keagamaan dan perpaduan.
Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, menerusi Jelajah Peduli Ummah mengambil inspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan nilai ihsan dalam kerangka Malaysia Madani.
Menurutnya, selain menyumbang kotak makanan, Mapim turut menyediakan makanan panas melalui Mobile Kitchen serta pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat menggunakan Bas Mobile Clinic dua Tingkat.
Beliau berkata, program cat rumah kediaman juga adalah antara aktiviti yang dijalankan selain beberapa aktiviti seperti Kenduri Rakyat, Jualan Rahmah, e-games, sukaneka dan pertandingan mewarna.
Katanya, menerusi program Jelajah Peduli Ummah bermula sejak Oktober lalu telah meliputi beberapa buah negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.
“Setiap negeri yang dilawati akan melibatkan kerjasama dengan komuniti setempat bagi memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan.
“Seperti program yang diadakan di IWK Eco Park, Pantai Dalam baru-baru ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kita menyumbang 500 kotak bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Setakat ini kami telah menyantuni lebih 30,000 penerima manfaat dan turut menyantuni lebih 5,000 mangsa banjir di Gerik dan Baling di Kedah, Dangi di Negeri Sembilan serta Rantau Panjang, Tumpat di Kelantan,” ujarnya.
Sani Araby berkata, program berkenaan tidak akan berjalan lancar tanpa bantuan dan kerjasama daripada rakan strategik seperti Rakan strategik ZUS Coffee dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).
Katanya, aset-aset penting seperti Mobile Kitchen Bus, Double-Decker Mobile Clinic, dan pacuan empat roda (4X4) Mapim Rangers turut digerakkan untuk menyokong kelancaran program tersebut. – UTUSAN