KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare bercadang untuk terus menerokai bidang Kecerdasan Buatan (AI) dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini.
Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan berkata, teknologi, inovasi dan penjagaan kesihatan dipacu AI ialah kompas bagi membimbing ke arah masa depan yang lebih cerah, cekap dan mesra pengguna.
“Saya fikir, dalam tiga hingga lima tahun akan datang, inilah hala tuju yang akan kita ambil, terutama dengan kemajuan dalam bidang AI.
“Data besar sedia ada memberi kelebihan untuk kami menceburi dalam bidang data dan AI, kerana inilah masa depan yang akan memberi nilai tambah kepada pesakit kami,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di sini.
Menurut beliau, pihak KPJ Healthcare mempunyai robot untuk penggantian lutut total (TKR) dan juga robot yang digunakan untuk prostataktomi radikal.
Bahkan, jelas beliau, KPJ Healthcare telah melakukan prosedur pintasan arteri jantung minimum invasif tanpa perlu membuka dada dengan cara yang lebih terkawal.
“Teknologi ini sudah tersedia, dan lebih penting lagi, seperti yang anda sebutkan, adalah mengenai kemahiran insaniah. Bagaimana kuncinya adalah kita terus meningkatkan standard penjagaan.
“Inilah yang ingin dicapai oleh KPJ kerana kami berhasrat untuk terus memfokuskan kepada pendidikan dan penyelidikan.
“Lebih-lebih lagi, kami juga turut memiliki Universiti KPJ,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Chin, melalui acara ini, pihaknya berusaha untuk menggalakkan kerjasama antara penyedia penjagaan kesihatan, organisasi komuniti dan orang awam.
“Kami menekankan pentingnya penjagaan pencegahan dan kesejahteraan. Acara seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang penyakit tidak berjangkit (NCD), tetapi juga memberi kuasa kepada individu untuk menguruskan kesihatan mereka sendiri.
“Terdapat pelbagai aktiviti antaranya ceramah maklumat hingga zon interaktif untuk kanak-kanak yang dirancang melibatkan semua peringkat umur dan menggalakkan pendekatan komuniti terhadap kesihatan.
“Kami mahu semua orang menyedari peranan mereka dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan, mencipta kesan berantai yang melangkaui acara ini,” katanya.
Chin menambah, matlamat KPJ Healthcare adalah untuk memupuk budaya kesejahteraan yang mengutamakan pencegahan berbanding rawatan, memastikan bahawa penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab bersama. – UTUSAN