BAGAN DATUK: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merupakan antara kementerian pertama yang telah menyempurnakan program Kampung Angkat MADANI.
Dari segi pencapaian keseluruhan KAM, KKDW menduduki tangga pertama daripada 43 KAM bagi kemajuan pelaksanaan projek dan kemajuan perbelanjaan.
Sehingga 30 November lalu, prestasi pelaksanaan KAM oleh kementerian itu adalah 100 peratus apabila 14 projek berjaya diselesaikan.
Dalam masa sama, prestasi perbelanjaan juga adalah 100 peratus iaitu RM2.5 juta yang diperuntukkan malah KKDW dapat menyelesaikan kesemua projek KAM pada 30 November lalu.
Ia merupakan satu kejayaan kepada KKDW kerana telah dapat menyiapkan dan melaksanakan perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta pada tahun semasa iaitu tahun 2024.
KAM diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet dapat dipertingkatkan melalui pendekatan Whole of Government.
Di bawah program itu, setiap kementerian serta agensi perlu memilih satu kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus
Maksimum RM2.5 juta diperuntukkan bagi setiap kampung di bawah Belanjawan 2024 untuk program KAM.
Kampung Sungai Betul di sini dipilih sebagai KAM oleh KKDW dan peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan pelbagai projek-projek fizikal dan bukan fizikal di kampung itu.
Terdapat 14 projek yang telah dilaksanakan di bawah KAM, KKDW yang melibatkan lapan projek fizikal di Kampung Sungai Betul.
Ia melibatkan naik taraf jalan perhubungan desa Kampung Sungai Ular ke Beting Beras Basah, jalan ladang pertanian, dewan orang ramai Kampung Sungai Betul, padang bola sepak, pagar di Beting Beras Basah, Surau Idrisiah dan Masjid Ismailiah, baik pulih titi Sungai Balai dan titi Klinik Desa Sungai Balai dan rumah rakyat miskin atau B40.
KKDW bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Bagan Datuk bagi pelaksanaan Kampung Angkat Madani dan melantik Pejabat KKDW Negeri Perak (PKN Perak), RISDA, Felcra Bina dan PDT Bagan Datuk sebagai agensi pelaksana bagi projek fizikal KAM KKDW di Kampung Sungai Betul.
Enam projek bukan fizikal yang sudah dilaksanakan pula melibatkan gotong royong keceriaan Kampung Sungai Betul, Program Tautan Desa Madani KKDW; kursus kek dan pastri (Giat MARA), kursus penyelenggaraan motosikal (Giat MARA), program Mobile Learning: Hands-On Pengurusan Desa – (INFRA) dan kursus kecemerlangan belia luar bandar (INFRA).
Bagi projek bukan fizikal atau projek komuniti, ia dilaksanakan oleh Bahagian Komuniti Desa (KD) KKDW dan juga pihak Institut Kemajuan Desa (INFRA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Perak dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Ahmad Zahid turut menyempurnakan Majlis Tautan Desa Madani KKDW di Sekolah Kebangsaan Sungai Betul di sini semalam. – UTUSAN