KKDW komited teruskan usaha Kampung Angkat Madani

KKDW komited teruskan usaha Kampung Angkat Madani

Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk pada Majlis Tautan Desa MADANI KKDW di SK Sungai Betul, Kg. Sungai Betul, Bagan Datuk, semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menzahirkan komitmen untuk meneruskan usaha bagi pelaksanaan program Kampung Angkat Madani (KAM) pada tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana inisiatif yang dibawa oleh program berkenaan bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, malah meningkatkan pendapatan melalui aktiviti ekonomi setempat sekali gus memperkasakan aktiviti modal insan.

Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) melawat hasil projek naik taraf gelanggang dan padang bola SK Sungai Betul pada Majlis Tautan Desa MADANI KKDW di Kg. Sungai Betul, Bagan Datuk, semalam.

Malah beliau berkata, usaha itu juga dapat melahirkan penduduk desa yang berdaya saing sekali gus membantu menyumbang kepada pengurangan bilangan miskin tegar dialam kalangan penduduk luar bandar.

“Sepanjang dua tahun tertubuhnya Kerajaan Madani, usaha-usaha untuk meningkatkan kemajuan dan kesejahteraan masyarakat desa tidak pernah terhalang atau diganggu sedikit pun.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tautan Desa Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Program Kampung Angkat Madani (KAM) Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Betul, di sini, semalam.

Secara keseluruhan KAM, KKDW menduduki tangga pertama daripada 43 KAM bagi kemajuan pelaksanaan projek dan kemajuan perbelanjaan.

Menurut Ahmad Zahid, beliau yakin melalui peruntukan yang diterima itu, KKDW dapat menjamin kesinambungan projek sedia ada dan juga meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di desa termasuk di kawasan pedalaman.

Katanya, peruntukan itu bukan sahaja digunakan dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi, sahsiah, rohani dan modal insan.

“Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan sosioekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan desa yang sejahtera dan makmur seperti yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” ujar beliau.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau amat berpuas hati menyaksikan projak-projek fizikal dan program bukan fizikal menerusi KAM di bawah seliaan KKDW di Kampung Sungai Betul.

Katanya, KKDW telah memberikan penumpuan kepada projek dan program berikut kepada Kampung Sungai Betul seperti Menaik taraf pagar di Beting Beras Basah, naik taraf jalan perhubungan desa dari Kampung Bagan Sungai ke Beting Beras Basah dan menaik taraf jalan ladang pertanian.

Projek naik taraf Jalan Perhubungan Desa Kampung Sungai Ular ke Beting Beras Basah.

“Selain itu, kita juga telah menaik taraf dewan orang ramai, naik taraf padang bola sepak SK Sungai Betul, baik pulih titi Sungai Balai dan titi Klinik Desa Sungai Balai.

“Turut dinaik taraf ialah Surau Idrisiah dan Masjid Ismailiah, baik pulih 25 buah rumah rakyat miskin dan program komuniti seperti gotong royong keceriaan kampung,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau turut menzahirkan komitmen untuk menaik taraf Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Betul.

Pembinaan tempat rehat di Beting Beras Basah.

“Saya dapati ada projek sudah selesai seperti naik taraf Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Betul, namun ia adalah dewan terbuka.

Jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM2.5 juta telah digunakan sepenuhnya.

“Oleh itu, saya dengan ini mengumumkan insentif tambahan akan dilakukan bagi menjadikan dewan ini lengkap berdinding dan pendingin hawa dan namakan Dewan Datuk Yahya Zakaria,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN