SHAH ALAM: Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd. (SIC) menjalin kerjasama strategik dengan TP-Link Distribution Malaysia Sdn Bhd (TP-Link) bagi menyediakan sistem rumah pintar di negeri ini.
Jalinan kerjasama itu dimeterai menerusi penyerahan surat hasrat (LoI).
Pengurus Besar Pembangunan Bandar Pintar SIC, Md. Fauzan Elham @ Alhim berkata, kerjasama itu bertujuan memperkenalkan Tapo iaitu sebuah jenama peranti pintar terkenal kepada pemilik kediaman.
“Pembeli rumah dapat meningkatkan ruang kediaman dengan pelbagai peranti inovatif seperti kamera keselamatan, pencahayaan pintar, alat automasi dan vakum robot.
“Ia dijangka dapat mentakrif semula pengalaman membeli rumah dengan mengintegrasikan kehidupan moden dan teknologi pintar, sekali gus memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat. Kerjasama itu selaras komitmen SIC dalam menawarkan pengintegrasian teknologi terkini selaras gaya hidup pemilik rumah masa kini,” katanya selepas majlis menandatangani LoI itu di Ibu Pejabat PKNS, Selasa lalu.
Pemeteraian itu disempurnakan antara beliau dan TP-Link yang diwakili Pengarah Wilayahnya, Hugo Cai.
Jelas Md. Fauzan, kerjasama itu menjadi langkah signifikan kedua-dua pihak sekali gus membuka laluan kepada kolaborasi dan inovasi pada masa depan.
“Ia juga dapat mencipta gaya hidup tanpa gangguan dan menyeronokkan bagi pembeli rumah di negeri ini. Tapo dikenali kerana kepelbagaian produknya yang berkualiti tinggi dan direka untuk memberikan kemudahan, keselamatan dan kecekapan kepada isi rumah moden,” ujarnya.
Tambah beliau, SIC komited memfokuskan bidang pemasaran produk binaan baharu, pembangunan solusi bandar pintar dan mapan serta akses terbuka infra komunikasi.
Sementara itu, Hugo Cai memberitahu, sistem solusi rumah pintar masa depan berkenaan antaranya melibatkan penggunaan kamera, sensor khas dan suis dinding.
“Kami memfokuskan penyediaan konsep gaya hidup pintar dan lebih mudah kepada pemilik kediaman di Malaysia. Kerjasama bersama SIC ini juga mengutamakan penggunaan peralatan yang selamat dan terkini oleh syarikat kami,” jelasnya.
TP-Link Malaysia adalah penyedia WLAN No. 1 dunia selama 14 tahun berturut-turut sejak 2010 yang membekalkan produk dan penyelesaian rangkaian.
Ia juga berdedikasi untuk meningkatkan kesalinghubungan di kediaman dan perniagaan di seluruh negara.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian global TP-Link, syarikat itu berusaha untuk menyediakan teknologi inovatif yang memudahkan sambungan dan memperkasakan pengguna.
Dengan pelbagai produk termasuk penghala, suis,dan peranti rumah pintar, TP-Link Malaysia komited menyediakan penyelesaian yang boleh dipercayai dan berprestasi tinggi yang memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa berubah.
Misinya adalah untuk merapatkan jurang digital, memastikan akses internet yang lancar dan selamat untuk semua.
Untuk maklumat lanjut, layari www.tp-link.com.my. – UTUSAN