Kemunculan Itik Jambul di Terengganu curi tumpuan

Kemunculan Itik Jambul di Terengganu curi tumpuan

ITIK Jambul yang ditemukan di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu. - IHSAN ANUAR MCAFEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Penemuan seekor Itik Jambul atau dikenali Tufted Duck, Aythya Fuligula di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Rabu lalu menjadi tarikan baharu untuk pencinta haiwan terutama spesies burung di negeri ini.

Itik Jambul adalah spesies burung hijrah dari sekitar kawasan Artik (Kutub Utara) yang penemuannya tidak pernah direkodkan di Terengganu.

Penemuannya itu direkodkan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA yang juga pakar pencerapan burung di Malaysia, Anuar McAfee pada petang Rabu lalu.

Beliau berkata, kehadiran Itik Jambul itu luar biasa kerana sangat jarang dijumpai memandangkan habitatnya di sekitar Artik dan sering membuat sarang di negara-negara sempadan seperti Norway, Sweden dan Rusia.

“Ketika musim sejuk di sana, itik ini bermigrasi ke bahagian selatan dan berdasarkan kajian sebelum ini, ia dilaporkan berada di  Afrika Utara, negara-negara Eropah, India atau selatan China.

“Ia memang jarang ditemukan di negara-negara ASEAN dan saya sendiri belum pernah lihat spesies ini di Malaysia khususnya di Terengganu.

“Ia pernah dilaporkan berada di Malaysia sekitar 25 hingga 30 tahun lalu iaitu sekali di Melaka pada tahun 1972, Pahang (1975) dan Ipoh, Perak pada tahun 1999. Sudah tentulah penemuan kali ini sangat luar biasa dan istimewa untuk warga UniSZA,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, spesies Itik Jambul bukanlah dalam kategori terancam dan dijangka boleh berada lama di tasik UniSZA sehingga tiga bulan sebelum pulang semula ke Artik.

“Kita berharap Itik Jambul ini berada lama di UniSZA untuk memberi peluang kepada peminat spesies burung melihatnya dengan lebih dekat,” katanya.

Dalam pada itu, video yang dimuat naik dalam laman sosial milik UniSZA semalam juga turut tular dengan keterujaan ramai pencinta haiwan terutama spesies burung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN