Kebebasan bersuara terjamin, jenayah siber diperangi

Kebebasan bersuara terjamin, jenayah siber diperangi

DATA kes penipuan dan jumlah kerugian tahun 2023
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA merekodkan nilai kerugian lebih RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian hanya dalam tempoh tahun ini hingga Oktober lalu.

Jumlah nilai kerugian tersebut melibatkan penipuan dalam talian atau scam, jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman serta pelaburan yang tidak wujud.

Lebih 1.4 bilion panggilan meragukan dan sejumlah 1.2 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta telah disekat. Selain itu, sejumlah 118,184 talian serta akses kepada 9,474 laman palsu disekat.

 

Jenayah seksual kanak-kanak pula meningkat 26.5 peratus kepada 1,567 kes dengan peningkatan tertinggi melibatkan 139.3 peratus dalam pornografi kanak-kanak; manakala bagi pengantunan kanak-kanak meningkat 100 peratus, dan 97 peratus bagi amang seksual secara bukan fizikal.

Bagi kes penipuan dan pengubahan wang haram pula, polis telah membuka 10,649 kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala 74 kertas siasatan bagi pengubahan wang haram dengan 637 akaun dibekukan berjumlah RM72.38 juta.

Statistik ini jelas menunjukkan jenayah melalui siber semakin berleluasa dan mengancam keselamatan pengguna di negara ini. Dalam hal ini, kerajaan mengambil langkah serius untuk menangani jenayah itu melalui penguatkuasaan undang-undang lebih tegas.

 

Langkah berkenaan dilaksanakan melalui pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang tidak pernah disemak sejak dikuatkuasakan 26 tahun lalu.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, cadangan pindaan itu akan memperluaskan skop penggunaan Seksyen 233 bagi menangani penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Katanya, usaha ini bertujuan memastikan internet menjadi ruang lebih selamat terutama bagi kanak-kanak dan keluarga. Fokus utama adalah menangani kemudaratan dalam talian seperti judi dalam talian, penipuan, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Perkara itu akan dirumuskan tentang masalah dan tindakan yang akan diambil melibatkan pindaan kepada Seksyen 233 Akta 588 tanpa langsung menyentuh tentang hal kebebasan bersuara rakyat yang tetap dijamin kerajaan.

Mengulas mengenai kebimbangan hak bersuara itu, Pakar Undang-Undang dari Fakulti Pengurusan, Universiti Multimedia, Dr. Bahma Sivasubramaniam berkata, pindaan Akta 588 itu lebih kepada mengawal selia kebebasan dalam menggunakan ruang internet supaya tidak menyalahgunakan platform itu untuk menganiaya orang lain melalui perbuatan jenayah.

Katanya, peruntukan melalui Seksyen 211 akan diperjelaskan dalam mengimbangi hak kebebasan bersuara setiap individu dan hak masyarakat untuk hidup dalam harmoni sebagai hak kolektif.

“Kebebasan bersuara tetap dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

 

 

 

 

“Jenayah siber dan salah laku dalam talian yang semakin meningkat tidak boleh diabaikan dan mesti ditangani secara tegas melalui undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 

 

 

 

Dr. Bahma berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pejabat Peguam Negara telah memberikan jaminan lisan bahawa pelaksanaan Seksyen 233 yang dipinda akan dilakukan secara berhati-hati.

Katanya, semua pihak harus meyakini bahawa undang-undang ini mampu mencapai keseimbangan antara kawalan dan kebebasan.

“Kerajaan memberi jaminan pindaan ini tidak digunakan untuk menyekat pandangan sah atau kritikan terhadap dasar-dasar awam.

“Satu standard peraturan yang jelas akan dibangunkan seiring dengan pindaan akta supaya undang-undang ini tidak menjadi alat penindasan untuk menyekat kebebasan bersuara sebagaimana kebimbangan pihak-pihak tertentu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN